Isnin, 31 Mei 2010

Mugilan buat laporan polis Facebooknya diceroboh

KUALA LUMPUR 31 Mei - Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan hari ini membuat satu laporan polis setelah laman sosial Facebook peribadinya diceroboh oleh individu tidak dikenali.

Beliau membuat laporan itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada pukul 3.45 petang.

Menurut Mugilan, beliau menyedari tentang pencerobohan itu daripada rakannya kira-kira pukul 3 pagi ini, yang dilakukan oleh individu terbabit dengan menggunakan nama 'Vetri Vel'.

Katanya, isi kandungan itu berbunyi 'Terima kasih kepada rakan-rakan Barisan Nasional (BN) yang membantu pelancaran Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS).

Tambahnya, selain itu 'Penyokong-penyokong Hindraf adalah penunjuk perasaan jalanan'.

"Justeru saya merasakan kenyataan itu berbaur hasutan dan boleh menimbulkan kemarahan dan kekeliruan orang ramai.

"Ia adalah jenayah siber. Saya berharap polis dapat menyiasat perkara itu agar individu terbabit dapat diambil tindakan," katanya ketika ditemui sebelum membuat laporan itu di sini hari ini.

Turut hadir bekas anggota Jawatan Kuasa Kerja Pusat (CWC), G. Kumar Aamaan dan peguamnya, Rajasekaran Thiyagaran.

Sementara itu, mengulas pelancaran GAS di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIEC) semalam, V. Mugilan berpuas hati dengan sambutan diberikan walaupun pertukaran lokasi dimaklumkan dalam tempoh singkat.

"Saya percaya yang hadir adalah 100 peratus rakyat negara ini dan 80 peratus terdiri daripada anggota MIC sendiri. Kami merancang membuat sidang akhbar pada Isnin ini bagi demonstrasi baru," katanya lagi.

V. Mugilan yang juga Penyelaras GAS berkata, dia memberi tempoh seminggu kepada Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu untuk berdamai dan membuat keputusan untuk berundur daripada parti.

"Saya yakin pada 10 Julai ini, Samy Vellu akan berundur. Tiada guna pemimpin tidak disukai ramai masih mempertahankan kepimpinannya itu," ujarnya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan tersebut.

Mohan minta Mugilan hentikan drama

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan menggesa penganjur Gerakan Anti Samy Vellu (GAS), V. Mugilan menghentikan dramanya yang mendesak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu meletakkan jawatan.

Ketuanya, T. Mohan berkata, Mugilan harus menerima hakikat bahawa beliau tidak boleh menarik kumpulan yang besar bagi menjayakan perhimpunan GAS.

Menurutnya, Mugilan sebelum ini telah memaklumkan akan menyokong Samy Vellu untuk terus memegang jawatan Presiden jika dia gagal menarik sokongan ahli MIC.

"Oleh itu, Mugilan kini harus menyokong Presiden MIC dan menghentikan dramanya segera.

"Semua orang tahu perhimpunan GAS telah gagal. Jika Mugilan adalah seorang yang berprinsip, beliau harus melupakan GAS seperti yang diberitahunya kepada media sebelum ini,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Mugilan pernah memberitahu beliau mampu mengumpul 15,000 penyokong bagi menjayakan perhimpunan GAS bagi mendesak Samy Vellu untuk meletakkan jawatan dengan segera.

Tetapi perhimpunan GAS yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia, The Mines Resorts (MIECC) di Seri Kembangan semalam hanya dihadiri kira-kira 5,000 penyokong.

Tambah Mohan, Mugilan harus mengakui beliau telah gagal dalam mengumpulkan orang ramai dan harus membubarkan GAS kerana ia tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada kaum India di negara ini.

"Mugilan harus membenarkan Presiden MIC menjalankan pelan peralihan kuasa dalam keadaan aman kerana perhimpunan GAS semalam telah pun membuktikan ramai yang tidak menyokongnya,'' kata beliau.

Menurut beliau, pihaknya juga berasakan Mugilan hanya mencari alasan dengan menuduh Samy Vellu melakukan sabotaj dalam menggagalkan perhimpunan itu.

"Memang senang untuk memberi kenyataan tetapi mana fakta berhubung dakwaan itu.

"Beliau juga mendakwa salah seorang pemimpin GAS telah hilang dan Samy Vellu membelanjakan RM5 juta untuk menghalang ahli-ahli MIC menghadiri perhimpunan itu,'' katanya.

Tambahnya, Pergerakan Pemuda MIC mahu Mugilan menarik balik tuduhan itu, jika tidak pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

"Kami juga mahu pihak polis menyiasat kenyataan Mugilan dalam laman web sosial Facebook yang menyatakan UMNO sentiasa bersama GAS dan berjanji akan bersamanya sehingga mencapai matlamatnya,'' ujar beliau.

Anwar perbodohkan pemimpin PAS

KUALA LUMPUR 31 Mei - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memperbodohkan pemimpin Pas apabila secara terbuka mengumumkan beliau akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk DAP.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menunjukkan beliau menggunakan kuasa diktator untuk berkuasa.

''Anwar secara terbuka memperlekeh dan tidak menghormati pemimpin Pas. Inilah sikap sebenar beliau yang sanggup melakukan apa sahaja untuk berkuasa,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam yang tidak mengetahui langsung mengenai jawatan yang disebut oleh Anwar itu.

Ketua Pembangkang itu ketika wawancara dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang disiarkan Rabu lalu berjanji akan mewujudkan jawatan baru tersebut yang bakal diisi di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Syed Ali berkata, Anwar ternyata lebih menghormati pemimpin DAP berbanding Abdul Hadi dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

''Anwar telah memperbodohkan pemimpin pakatan pembangkang lain dengan membuat keputusan tanpa persetujuan kolektif mereka.

''Dia membuat janji ini dengan tujuan mengekalkan sokongan pengundi Cina walaupun terpaksa membuat kenyataan yang melukai hati pemimpin Pas,'' ujarnya.

Syed Ali menegaskan, rakyat perlu menolak pakatan pembangkang yang diterajui oleh Anwar kerana beliau dilihat sengaja memainkan sentimen perkauman terutama membabitkan orang Melayu dengan janjinya kepada pemimpin DAP.

''Saya percaya pemimpin Pas tidak akan menyokong Anwar yang menggunakan politik rasis untuk diberi laluan sebagai Perdana Menteri," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, pemilihan DAP dan bukannya Pas bagi mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri II jelas menunjukkan kepercayaan tinggi Anwar terhadap parti yang dianggotai majoriti kaum Cina itu.

Sambil menyifatkan janji itu sebagai angan-angan Mat Jenin, tegas Rosnah, Pas patut memandang serius janji yang dibuat Anwar itu kerana tawaran tersebut jelas menunjukkan Penasihat PKR berkenaan tidak yakin terhadap parti itu.

''Anwar membuat janji ini mungkin kerana DAP telah memberi peluang kepadanya untuk terus menjadi Ketua Pembangkang walaupun kerusi PKR di Parlimen kurang berbanding parti itu.

''Anwar tidak sedar bahawa dia sendiri hanya diperalatkan oleh DAP atau beliau memang sedar perkara ini asalkan dapat menjadi Perdana Menteri,'' ujarnya.

Ahad, 30 Mei 2010

Jawatan TPM II hanya mahu raih sokongan

PONTIAN 30 Mei - Tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri II kepada DAP yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya bertujuan mahu meraih keuntungan politik semata- mata.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, sejak 1957 negara ini telah diperintah dengan baik tanpa memerlukan jawatan Timbalan Perdana Menteri II.

Menurut beliau, masyarakat Cina juga tidak pernah mendesak jawatan tersebut diberikan kepada mereka kerana telah mempunyai kuota yang mencukupi bagi jawatan menteri dan timbalan menteri.

Katanya, walaupun MCA dan Gerakan gagal memenangi banyak kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, Barisan Nasional (BN) tetap memenuhi kuota jawatan untuk mereka seperti biasa.

"Datuk Seri Anwar adalah seorang oportunis yang akan menjanjikan apa jua termasuk bulan dan bintang bagi memenuhi hasrat dan cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

"Tetapi tentunya masyarakat Cina tidak akan lupa pembohongan 16 September 2008 apabila mendakwa 30 ahli Parlimen BN akan melompat parti," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Majlis Belia Daerah (MBD) Pontian di Hotel Pontian di sini hari ini.

Beliau mengulas janji Ketua Pembangkang itu yang menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II kepada DAP seperti dinyatakannya dalam temuramah dengan sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menambah, ia merupakan satu lagi janji fatamorgana, ilusi dan khayalan Anwar yang sudah bankrap idea.

"Taburan janji tidak lain untuk mengatasi kerajaan BN yang akan terus mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian daripada menabur janji-janji yang tidak pasti kebenarannya," ujarnya.

Katanya, Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sejak 50 tahun lalu hingga sekarang bekerja untuk seluruh lapisan rakyat Malaysia, maka tidak perlu isu tersebut ditimbulkan.

Menurut Ahmad, jika Anwar benar-benar mahu memenuhi kehendak demokrasi, beliau sepatutnya melepaskan jawatan Ketua Pembangkang kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya mempunyai 24 kerusi di Dewan Rakyat berbanding DAP yang mempunyai 29 kerusi.

TPM II politik murahan Anwar - Saifuddin

TEMERLOH 30 Mei - Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Saifuddin Abdullah (gambar) membidas mainan politik murahan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri II untuk DAP jika memenangi Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurutnya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sengaja mencipta gimik politik bagi menagih undi simpati kaum Cina khususnya kalangan penyokong DAP walaupun ia sukar untuk ditunaikan.

"Hakikatnya Malaysia yang hanya mempunyai penduduk kira-kira 27 juta, tidak memerlukan Timbalan Perdana Menteri II kerana negara besar seperti Amerika Syarikat (AS) pun tidak mempunyai jawatan itu.

"Sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan sekarang sangat sesuai dan diterima rakyat pelbagai kaum tanpa masalah kerana memerintah secara adil dan saksama,'' katanya kepada pemberita selepas menutup program 'Moh Desa Perwira' anjuran Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kampung Bangau Parit di sini hari ini.

Saifuddin yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi diminta mengulas laporan akhbar semalam mengenai janji Anwar untuk mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum akan datang.

Anwar membuat janji tersebut dalam wawancara khas dengan sebuah akhbar berbahasa Cina,Nanyang Siang Pau yang disiarkan pada 26 Mei lalu.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, Anwar mempunyai kerangka pemikiran yang lama dan bersifat perkauman kerana sanggup mewujudkan satu jawatan khas untuk penyokong Cina.

Sambil menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya rakyat berhati-hati dengan janji Anwar itu, beliau menambah, tindakan Penasihat PKR kelak akan mendorong kaum-kaum lain menuntut jawatan serupa bagi kaum mereka dan natijahnya boleh menyebabkan berlakunya pergeseran kaum yang berpanjangan.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah dengan mengamalkan sistem sedia ada telah membuktikan keberkesanannya dengan cemerlang tanpa perlu mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua.

"Rakyat perlu mempertahankan sistem pemerintahan sedia ada tanpa terpengaruh dengan gimik Anwar yang cuba mengalih perhatian dan sokongan rakyat terhadap parti pembangkang," katanya.

Saifuddin menegaskan, walaupun Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri terdiri daripada orang Melayu selama ini, terbukti mereka berkhidmat dengan penuh adil untuk semua rakyat Malaysia.

Justeru katanya, sistem yang diterima baik itu cuba diubah oleh Anwar yang terkenal sebagai individu yang suka berjanji dan menabur retorik kepada penyokongnya, walaupun tindakannya itu memberi kesan kepada perpaduan kaum di negara in

PKR dikatakan ketepi peranan ahli wanita

KOTA BHARU 30 Mei - Parti Keadilan Rakyat (PKR) dikatakan masih mengetepikan peranan ahli wanita dalam perjuangannya.

Wakil wanita dari Pulau Pinang, Romlah Bee berkata, tidak sepatutnya berlaku dalam parti itu apabila penglibatan golongan wanita seperti dinafikan sedangkan ketika berkempen, golongan itulah yang turut sama di barisan hadapan membantu jentera parti pada pilihan raya.

"Kami dinafikan untuk memegang jawatan penting di peringkat cabang (bahagian) lagi dan kali ini kami daripada golongan wanita meminta agar penglibatan kami sekurang-kurangnya 30 peratus dalam setiap tempat bukan sahaja di cabang tetapi di peringkat kepimpinan tertinggi diambil kira.

"Bila berkempen kami sanggup lakukan apa sahaja tetapi bila sudah menang janganlah lupakan kami yang banyak membantu ini," katanya yang mendapat sorakan lebih 1,000 perwakilan dan pemerhati pada Kongres Nasional Tahunan Ke-6 PKR yang masuk hari ketiga di sini hari ini.

Romlah yang membahaskan hak-hak kesamaan gender turut meminta kerajaan negeri Selangor yang diterajui PKR agar melibatkan wanita seperti di Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Wakil Johor, Shahrullizam Haron yang membahas isu yang sama turut meminta kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat supaya menubuhkan Kesatuan Pekerja-Pekerja Wanita bagi melindungi hak mereka yang bekerja membantu keluarga.

"Ketika ini kita belum mendengar kesatuan khusus untuk golongan wanita dan jika pucuk pimpinan bersetuju ia boleh dipraktikkan di negeri yang diperintah kita," katanya.

Wakil Srikandi, Farah Afzan Faridi meminta PKR mencari kaedah baru untuk terus mendapat sokongan golongan muda yang menurutnya kini sudah beralih arah kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, Umno dan parti komponen BN yang lain lebih ke hadapan dalam menarik golongan muda dan Pakatan Rakyat seolah-olah kebelakang dalam perkara itu.

"Parti seperti tidak ada mekanisme khusus untuk menarik golongan muda," katanya. - BERNAMA

Mahkamah terus diperlekeh, menteri jadi mangsa


Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng (kanan) berbual mesra pada majlis ceramah perdana pakatan pembangkang di Padang Perdana, Kota Bharu, semalam.


KOTA BHARU 30 Mei - Selepas menyifatkan hakim yang mengendalikan kes liwatnya sebagai bahalol, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menggunakan pentas politik untuk memperlekehkan institusi kehakiman negara ini.

Sambil mengulangi apa yang disebutnya pada malam kelmarin, Anwar dalam Ceramah Perdana Pakatan Rakyat di Padang Perdana di sini malam tadi, menuduh pula Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom terlibat dalam konspirasi untuk menjatuhkan maruahnya.

Beliau mendakwa Jamil Khir mengarahkan pihak pendakwaan tidak mengambil tindakan ketika permohonan qazaf dilakukan terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Syariah.

"Doktor periksa 'ekzos' tapi tidak ada apa, kita bagi tahu mahkamah tidak ada kesan apa pada 'ekzos' tetapi hakim kata 'ya betul tetapi mungkin ada yang lain', apa benda ini, ini semua kerja UMNO yang mahu terus mengaibkan saya dan keluarga saya," katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Hadir sama ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meninggalkan majlis lebih awal tanpa sempat menyampaikan ceramah kerana kurang sihat.

Semalam, Anwar dilaporkan membuat kenyataan mengejutkan dengan menggambarkan hakim yang mendengar kes liwatnya sebagai 'bahalol' kerana meneruskan perbicaraan itu.

Beliau turut menyifatkan badan kehakiman negara sebagai 'rosak dan punah' serta masih gagal dipulihkan kerana diterajui oleh individu-individu yang tidak layak.

Sementara itu, Anwar terus berdolak dalik untuk mengemukakan bukti bahawa wakil-wakil rakyat yang keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini menerima ganjaran RM2 juta dan kontrak lumayan.

Katanya, bukti tersebut akan dikemukakan kepada khalayak sekiranya UMNO menafikan bahawa mereka membayar kepada wakil rakyat terbabit.

"Saya ada keterangan dan bukti, kita akan bagi pada masa yang sesuai. Saya nak tunggu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kata bohong, kemudian saya akan bagi satu demi satu macam filem hindustan.

"Kalau saya kata ada, bermakna ada. Tetapi bukti itu tiada di rumah saya, tiada di pejabat saya, tiada dalam beg saya... tetapi ada," katanya

Krisis dalaman PKR makin meruncing - Fairus

KULIM 30 Mei - Bekas Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata krisis dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini kian meruncing dan parti itu hanya menunggu masa untuk 'karam'.

"Jika dulu Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat tohmahan bahawa 'kapal UMNO' akan menerima nasib seperti Titanic tapi hakikatnya kini, itulah nasib yang akan dialami PKR tidak lama lagi," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Program Juara Rakyat anjuran UMNO Bahagian Kulim/Bandar Baharu, di Kampung Sungai Tengas, dekat sini malam tadi.

Hadir sama pada majlis yang disertai hampir 1,000 penduduk tempatan itu ialah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Hamzah Zainuddin.

Mohammad Fairus berkata, Anwar kini berada dalam keadaan terdesak kerana semakin ramai anggota Melayu yang lari keluar PKR kerana bosan dengan tindak-tanduk dan janji palsu pemimpinnya.

Beliau berkata, kini Penasihat PKR itu menaburkan pula janji menggunung untuk memberi kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri kedua kepada orang Cina setelah Pas ditawarkan untuk jawatan timbalan pertama jika beliau menjadi Perdana Menteri.

Mohammad Fairus juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Kongres PKR di Kota Bharu Jumaat lalu bahawa anggota yang keluar parti, khususnya ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen, telah menerima imbuhan RM2 juta setiap seorang.

"Inilah dia apa yang disebut sebagai pembunuhan politik pusingan kedua yang dilakukan pemimpin PKR seperti Wan Azizah yang sudah ketandusan modal, dan untuk mendapatkan sokongan rakyat, mereka mengeluarkan pelbagai fitnah yang melulu demikian," katanya, sambil menambah tindakan itu adalah 'Prosedur Operasi Standard' Anwar.

Mohammad Fairus berkata, perkara itu sebenarnya tidak pernah berlaku kerana penyertaan beliau dalam UMNO adalah kerana perjuangan dan tidak pernah menerima sebarang imbuhan walaupun satu sen. - BERNAMA

MIC perlu 'dengar dan lihat' atasi krisis

KUALA LUMPUR 30 Mei - Parti Gerakan hari ini mencadangkan kepada kepimpinan MIC agar menggunakan kaedah 'dengar dan lihat' bagi menyelesaikan masalah dalaman parti tersebut.

Naib Presiden Gerakan, Senator A. Kohilan Pillay (gambar) berkata, jika MIC dapat melaksanakan kaedah tersebut melalui perbincangan secara kolektif di peringkat akar umbi, beliau yakin MIC akan berjaya mengatasi semua masalah dalamannya.

"Perkara utama yang perlu dibincangkan oleh MIC adalah kehendak masyarakat India.

"Jika kehendak tersebut mampu dilaksana oleh MIC, saya yakin parti itu akan menjadi lebih kukuh pada masa depan,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan bantuan bagi sekolah-sekolah Tamil di negeri Selangor di sini hari ini.

Timbalan Menteri Luar itu berkata demikian ketika diminta mengulas krisis dalaman MIC sehingga tertubuhnya Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) serta Gerakan Anti Mugilan (GAM).

Mengulas lanjut, Kohilan berkata, MIC sewajarnya menyelesaikan segera segala kemelut kepimpinan parti itu bagi mengelakkan ia memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN).

"Parti komponen dalam BN umpama adik-beradik, jika salah satu parti ini menghadapi masalah ia pasti akan menjejaskan keharmonian dalam kekeluargaan BN.

"Saya juga yakin MIC dapat menyelesaikan masalah mereka dengan cara baik sekali gus menguatkan ikatan perpaduan di kalangan ahli MIC,'' katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Kohilan menyerahkan sejumlah RM598,320 kepada 40 buah sekolah Tamil di seluruh Selangor.

Sumbangan tersebut meliputi wang tunai RM3,000 untuk setiap sekolah, bahan bacaan untuk perpustakaan sekolah serta bantuan mesin air minuman (O2 Plus).

Menurut Kohilan, bantuan tersebut diperolehi melalui sumbangan syarikat-syarikat yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk membantu pembangunan sekolah Tamil.

Rajago palu anggap pelantikan kepercayaan Samy

SEREMBAN 30 Mei - Ketua MIC Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu (gambar) menyifatkan pelantikannya sebagai Setiausaha Agung MIC yang baru merupakan satu kepercayaan tinggi yang diberikan oleh Presiden Datuk Seri S. Samy Vellu kepadanya.

Beliau amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan itu dan akan memulakan tugas rasmi sebagai Setiausaha Agung MIC sebaik sahaja mengadakan pertemuan dengan Samy Vellu di Kuala Lumpur pukul 9 pagi esok.

''Saya baru sahaja diberitahu oleh Presiden sebentar tadi dan memaklumkan pelantikan ini.

''Saya terharu dan mengucapkan terima kasih, lebih-lebih lagi ia satu tanggungjawab yang diamanahkan oleh Presiden dan kepimpinan tertinggi MIC kepada saya," katanya ketika dihubungi di Johor hari ini.

Beliau menggantikan S. Murugesan yang dipecat daripada jawatan tersebut selepas membuat kenyataan terbuka mempertikaikan tindakan Samy Vellu yang menggunakan kuasanya sebagai Presiden untuk memecat empat anggota termasuk dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti baru-baru ini.

Rajagopalu yang dalam perjalanan balik dari Johor selepas menghadiri Konvensyen MIC negeri itu memberitahu, beliau menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh Presiden dan akan bekerja sebaik mungkin.

''Saya akan bekerja dengan Presiden, Timbalan Presiden, Jawatankuasa MIC pusat, selain dapat bersama-sama mengembalikan keharmonian dalam parti.

''Sebagai Setiausaha Agung, saya akan sentiasa mengikut dan menghormati apa juga arahan Presiden selain menjaga kepentingan pari dan hubungan baik dalam Barisan Nasional (BN),'' katanya.

Tambahnya, dengan pengalaman sebagai Ketua MIC Negeri Sembilan selama 10 tahun serta bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dia yakin dapat menyumbang khidmat yang baik untuk membantu kejayaan parti pada masa hadapan.

''Saya akan menggunakan kelebihan dan pengalaman sedia ada untuk bekerja sebagai Setiausaha Agung MIC.

''Kali ini, saya akan berkhidmat di peringkat kebangsaan, ia satu tanggungjawab yang besar dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan baik," katanya.

Ditanya mengenai nasib Murugesan selepas ini, Rajagopalu enggan mengulas lanjut.

Semalam, Samy berada di sini merasmikan Konvensyen MIC Negeri Sembilan dan Rajagopalu hadir sebagai Ketua MIC negeri.

''Presiden hanya memaklumkan perkara itu hari ini. Semalam beliau tidak bercakap apa-apa mengenainya,'' katanya.

GAS lancar formula baru bagi mendesak Samy Vellu berundur


V. Mugilan (tengah) diapit K.P Samy (kanan) dan Kumar Aamaan melaungkan desakan supaya Samy Vellu meletak jawatan sebagai Presiden MIC semasa menyertai perhimpunan (GAS) semalam.


KUALA LUMPUR 30 Mei - Penyelaras Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS), V. Mugilan akan terus melaksanakan formula baru bagi memastikan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu segera berundur daripada jawatannya itu.

Mugilan berkata, beliau akan berusaha untuk mendapatkan 500,000 tandatangan daripada ahli-ahli MIC di seluruh negara sebagai tanda persetujuan menggesa Samy Vellu meletak jawatan.

''Saya akan memulakan gerakan itu dalam tujuh hari lagi. Dalam tempoh tersebut Presiden MIC (Samy Vellu) boleh membuat keputusan sama ada untuk terus menerajui parti itu atau meletak jawatan.

''Jika beliau tetap tidak mahu berundur saya akan mendapatkan 500,000 tandatangan itu secepat mungkin dan memberikannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengambil tindakan selanjutnya,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis GAS di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia, The Mines Resorts (MIECC) di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 5,000 penyokong GAS hadir bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Samy Vellu dan menggesa Presiden MIC itu meletak jawatan segera.

Daripada jumlah kehadiran itu, kira-kira 90 peratus adalah ahli MIC dan kira-kira 300 adalah ketua bahagian dan cawangan parti itu.

Tambah Mugilan, pemimpin-pemimpin negara ini harus membuat satu keputusan yang baik demi masa depan kaum India di negara ini.

''Adakah pemimpin negara ini mahukan Samy Vellu atau masyarakat India di negara ini? Jika pemimpin negara mementingkan kesejahteraan kaum India, mereka harus memastikan Samy Vellu berundur dari jawatan itu.

''Jika beliau terus memegang jawatan Presiden itu sehingga 2011, beliau akan menjadikan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) sebagai universiti keluarganya,'' kata beliau.

Dalam pada itu katanya, beliau mengharapkan 20,000 masyarakat India dari seluruh negara bagi menghadiri perhimpunan itu tetapi beliau difahamkan terdapat insiden sabotaj yang dilakukan oleh beberapa individu bagi menghalang penyokong GAS menghadirinya.

''Bas-bas dari Johor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang telah pun dihalang untuk hadir ke perhimpunan ini. Kami juga difahamkan kira-kira RM5 juta telah dibelanjakan untuk menghalang penyokong-penyokong GAS hadir ke perhimpunan ini.

"Pihak-pihak tertentu telah memberikan RM5,000 kepada sebuah bas. Salah seorang pemimpin kami dari negeri utara juga tidak dapat dihubungi dari pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan dari negeri-negeri di utara,'' katanya.

Mugilan juga mendedahkan bahawa Samy Vellu sedang menstrukturkan parti itu bagi membolehkan anaknya, S. Vell Paari menggantikan tempat beliau.

Tambahnya, beliau hanya melakukan 'kempen' GAS itu selama 10 hari dan mampu mengumpul kira-kira 5,000 penyokong.

Dalam pada itu, Mugilan juga membuat sumpah di atas buku suci Tamil yang bernama Tirukural dengan menyatakan bahawa tidak ada pihak ketiga dalam anjuran GAS ini.

"Saya bersumpah di atas buku suci ini. Tidak ada dalang dalam penubuhan GAS dan tidak ada pihak ketiga yang menggesa saya bertindak seperti ini,'' jelasnya.

Sementara itu, suasana perhimpunan pada petang ini agak tenang dan ia berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku, meskipun khabar angin mengatakan ada sekumpulan samseng diupah untuk membuat kecoh di situ.

Tiada kehadiran polis berpakaian seragam dilihat membuat kawalan, sebaliknya terdapat kelibat sekumpulan anggota polis preman yang berada di sekeliling bangunan MIECC untuk memantau keadaan

'Saya tidak marah, menerima dengan hati terbuka'

KUALA LUMPUR 30 Mei - Tindakan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu memecat S. Murugesan daripada jawatannya, tidak sedikit pun menggoyahkan pendirian beliau sebelum ini.

Bekas Setiausaha Agung MIC itu berkata, beliau masih tidak berganjak dengan kepercayaannya dan telah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Murugesan bagaimanapun menganggap pemecatannya adalah 'hak istimewa' presiden parti.

''Ia adalah hak prerogatif presiden dalam melantik dan memecat setiausaha agung.

''Saya berterima kasih kepada presiden kerana memberi peluang untuk saya bertanding di Subang dan berkhidmat sebagai Setiausaha Agung MIC sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Murugesan merupakan individu kelima yang dipecat Samy dalam tempoh 11 hari sejak Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan dipecat pada 20 Mei lalu kerana mendesak presiden parti meletak jawatan serta-merta.

Selepas Mugilan, Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan, V. Subramaniam serta dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), K. P Samy dan G. Kumar Amaan menerima nasib sama.

Meskipun Samy Vellu enggan menyatakan sebab Murugesan dipecat, keputusan itu dipercayai berpunca daripada kelantangan beliau mempertikaikan secara terbuka tindakan Presiden MIC itu menggunakan kuasanya bagi memecat sesiapa juga yang dilihat menentangnya.

Murugesan dalam kenyataan sama turut mengucapkan tahniah kepada penggantinya, Datuk T. Rajagopalu di atas pelantikan tersebut.

''Tahniah di atas pelantikan beliau. Semoga beliau dapat menjalankan tugas dengan baik," katanya.

Sementara itu, Murugesan ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu beliau akan bercuti beberapa hari bagi memberi tumpuan kepada keluarga sebelum kembali ke arena politik.

''Saya tidak marah dan menerimanya dengan hati terbuka. Peluang ini akan diambil bagi memberi tumpuan terhadap keluarga serta firma guaman saya,'' ujarnya.

5,000 ahli akar umbi MIC hadir nyatakan sokongan


SEBAHAGIAN kaum India yang menyokong Samy Vellu berundur segera daripada jawatan Presiden MIC semasa menyertai perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) di Pusat Konvensyen The Mines, Seri Kembangan, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Mei - Laungan 'Musnahkan Samy' dan 'Keluar dari MIC' menjadi manifestasi penolakan ahli akar umbi parti itu terhadap Datuk Seri S. Samy Vellu sempena perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIEC), di sini hari ini.

Kalimah itu dilaungkan lebih 5,000 ahli dan pemimpin akar umbi, orang perseorangan serta ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong GAS kerana, pemimpin nombor satu MIC itu didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab menyebabkan masyarakat India menolak parti berkenaan.

Pada masa yang sama, gerakan tersebut yang dicetuskan oleh bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan berlangsung dalam keadaan tenang tanpa sebarang kekecohan walaupun kumpulan penyokong Samy Velly sebelum ini mengancam untuk menggagalkan penganjuran GAS.

Meskipun gagal mencapai sasaran awal untuk mengumpul kira-kira 15,000 penyokong MIC, namun perhimpunan itu boleh dianggap berjaya kerana walaupun berlaku perubahan tempat pada saat-saat akhir, ia tetap mendapat sambutan menggalakkan.

Gerakan itu pada awalnya dirancang untuk diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tetapi akhirnya lokasi tersebut terpaksa diubah ke MIEC disebabkan pelbagai tekanan yang diterima dipercayai daripada pucuk pimpinan MIC.

Perhimpunan GAS diadakan bagi mendesak Samy Vellu melepaskan jawatan yang dipegang beliau sejak 31 tahun lalu sebagai Presiden MIC untuk membolehkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, melaksanakan transformasi pentadbiran dan sekali gus mengembalikan semula sokongan masyarakat India.

Dalam pada itu, perhimpunan GAS yang berlangsung lewat sejam daripada jadual asal iaitu kira-kira pukul 3 petang, dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku serta lagu parti sebelum disusuli dengan ucapan pembukaan oleh bekas Naib Presiden MIC, Datuk V. Govindaraj.

Hadir memberi sokongan kepada gerakan selain Govindaraj adalah veteran MIC, Oms. Thiagarajan, bekas Ketua Bahagian MIC Petaling Jaya Selatan, Barat Maniam serta dua bekas ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), K.P. Samy dan Kumar Aamaan.

Majlis yang pada awalnya berjalan tanpa sebarang gimik mahu pun provokasi mulai 'panas' apabila pakar motivasi, John Rajan berkata, beliau hanya ada tiga ayat untuk Samy Vellu iaitu "keluar, keluar, keluar (daripada MIC)" dan kalimah tersebut turut dilaung secara serentak oleh orang ramai yang hadir.

Kemudian, suasana majlis bertambah hangat apabila pelbagai 'kisah sulit' Samy Vellu sepanjang pentadbirannya didedahkan satu persatu sehingga semua penyokong yang hadir berteriak melaungkan "musnahkan Samy".

Tindakan itu mengakibatkan semua penyokong gerakan berkenaan bangun bagi memberi tepukan dan kemuncaknya, beberapa penyokong GAS yang hadir membaling kasut serta selipar ke arah gambar Samy Vellu yang diletakkan di sebelah pentas utama

Saya tidak tahu - Abdul Hadi

SEPANG 30 Mei - Datuk Seri Anwar Ibrahim ternyata mengetepikan Pas sebagai rakan pakatan pembangkang apabila mahu mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II dalam kalangan pemimpin DAP tanpa membincangkannya terlebih dulu.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya tidak mengetahui langsung tentang jawatan yang disebut dalam kenyataan Anwar itu.

"Itu hanya laporan media, kita belum ada apa-apa perbincangan," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Pas bernilai RM30 juta di Paya Indah dekat sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.

Abdul Hadi diminta mengulas wawancara Anwar dengan akhbar Nanyang Siang Pau pada 26 Mei yang dilaporkan berkata, pakatan pembangkang tidak mempunyai perasaan curiga jika ada di kalangan orang Cina layak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sambil memberitahu bahawa pakatan pembangkang sudah mewujudkan Kabinet bayangan, Anwar berkata, beliau telah dipilih menjadi calon Perdana Menteri.

Ditanya mengenai tindakan Anwar mengeluarkan kenyataan itu tanpa berbincang dengan Pas, Abdul Hadi menyifatkan ia pandangan peribadi Penasihat PKR itu.

"Saya tidak tahu, itu pandangan peribadi (Anwar), saya pun ada pandangan peribadi.

"Dalam pakatan kita belum bincang," katanya.

Mengulas isu yang sama, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, majlis tertinggi pakatan pembangkang juga tidak pernah membuat keputusan bahawa Anwar akan dipilih sebagai calon Perdana Menteri.

"Ia bergantung kepada keputusan pilihan raya umum nanti, kita tidak bincang secara spesifik (Anwar jadi Perdana Menteri), kita belum bincang," katanya.

Beliau menjelaskan, sebarang penambahan jawatan Timbalan Perdana Menteri perlu dibincangkan dalam majlis tertinggi pakatan pembangkang membabitkan Pas, PKR dan DAP.

Katanya, langkah sama juga akan dilakukan jika melibatkan sebarang keputusan yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.

"Apa-apa keputusan yang dibuat, secara prinsipnya kami telah bersetuju bahawa semuanya akan dibincang dalam majlis tertinggi yang dianggotai kepimpinan tertinggi ketiga-tiga parti," katanya.

Murugesan mangsa terbaru Samy

KUALA LUMPUR 30 Mei – S. Murugesan menjadi ‘mangsa’ terbaru Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu apabila dipecat serta-merta daripada jawatan setiausaha agung parti berkuatkuasa hari ini.

Pemecatan tersebut dibuat Samy dua hari setelah Murugesan secara terbuka mengkritik ketuanya itu yang didakwa menggunakan kuasa untuk memecat empat ahli MIC termasuk dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti baru-baru ini.

Murugesan menjadi individu kelima dalam tempoh 11 hari yang dipecat, bermula dengan pemecatan Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan pada 20 Mei lalu diikuti Ketua MIC Bahagian Petaling Jaya Selatan, V. Subramaniam serta dua anggota CWC, K.P Samy dan G. Kumar Aamaan.

‘‘Saya melantik Ketua MIC Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu ke jawatan Setiausaha Agung MIC bagi menggantikan Murugesan.

‘‘Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk V.S Mogan pula dilantik sebagai Ketua MIC Negeri Sembilan yang baru dengan dibantu A. Ganesan sebagai timbalannya,’’ kata Samy Vellu dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Murugesan dalam tegurannya kelmarin mendakwa tindakan Samy Vellu menggunakan kuasanya bagi memecat sesiapa juga yang menentang beliau boleh menggoncang demokrasi dalam parti tersebut.

Menurut Murugesan, tindakan sedemikian adalah tidak wajar memandangkan kesemua mereka yang dipecat tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri dan mengemukakan pandangan masing-masing.

Samy Vellu yang dihubungi bagi mendapatkan penjelasan mengenai pemecatan itu bagaimanapun enggan mengulas banyak.

‘‘Saya cuma membuat lantikan baru. Lebih dari itu saya tidak akan komen,’’ katanya ketika kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tindakan terbaru Samy Vellu memecat Murugesan hari ini agak menghairankan setelah beliau mengakui tidak berasa marah terhadap kritikan tersebut ketika berucap merasmikan Konvensyen MIC Negeri Sembilan semalam.

‘‘Tetapi saya harus katakan bahawa kamu telah melakukan kesilapan terbesar di dalam hidup kamu,’’ katanya kepada Murugesan yang turut hadir pada majlis itu.

Jumaat, 28 Mei 2010

Utusan dihalang buat liputan Kongres PKR

KOTA BHARU 28 Mei - Akhbar Utusan Malaysia dihalang daripada membuat liputan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan di negeri ini selama tiga hari, bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Induknya, Abdul Aziz Kadir berkata, wartawan dan jurufoto Utusan Malaysia tidak dibenarkan hadir sepanjang kongres berlangsung atas arahan dari Kuala Lumpur.

Kongres selama tiga hari itu dihadiri oleh 1,500 perwakilan dan kira-kira 1,000 pemerhati dari seluruh negara.

Walaupun sebelum ini, Abdul Aziz menyatakan pihaknya tiada masalah membenarkan Utusan Malaysia membuat liputan tetapi keputusan itu berubah malam tadi.

Selain Utusan Malaysia, petugas di Dewan Konvensyen Pusat Dagangan Kelantan (KTC), tempat berlangsungnya kongres itu juga menyatakan TV3 Kelantan turut tidak dibenarkan membuat liputan.

Utusan dihalang buat liputan Kongres PKR

KOTA BHARU 28 Mei - Akhbar Utusan Malaysia dihalang daripada membuat liputan Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diadakan di negeri ini selama tiga hari, bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Induknya, Abdul Aziz Kadir berkata, wartawan dan jurufoto Utusan Malaysia tidak dibenarkan hadir sepanjang kongres berlangsung atas arahan dari Kuala Lumpur.

Kongres selama tiga hari itu dihadiri oleh 1,500 perwakilan dan kira-kira 1,000 pemerhati dari seluruh negara.

Walaupun sebelum ini, Abdul Aziz menyatakan pihaknya tiada masalah membenarkan Utusan Malaysia membuat liputan tetapi keputusan itu berubah malam tadi.

Selain Utusan Malaysia, petugas di Dewan Konvensyen Pusat Dagangan Kelantan (KTC), tempat berlangsungnya kongres itu juga menyatakan TV3 Kelantan turut tidak dibenarkan membuat liputan.

'Buktikan kami disogok'

PULAU PINANG 28 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar menunjukkan bukti kononnya wakil- wakil rakyat pembangkang yang melompat parti disogok dan diberikan kontrak bernilai jutaan ringgit.

Sambil menyifatkan ia adalah satu pembohongan, Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, beliau tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan mahkamah sekiranya Anwar gagal berbuat demikian.

Pada masa sama, bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang itu turut menasihatkan Anwar supaya berhenti membuat pembohongan dan tohmahan kepada mereka, sebaliknya memberi tumpuan kepada masalah serta kes dihadapinya sekarang.

"Dia tidak layak nak cakap pasal etika, moral atau pun penyelewengan kerana keperibadiannya sendiri dipersoalkan. Jadi sudah-sudahlah bercakap bohong, jaga kes liwat dan dia punya masalah terlebih dahulu.

"Tak perlulah buat tuduhan begitu kerana dia sendiri tahu yang kami semua ini keluar parti sebab dah meluat, jelak dengan cara kepimpinannya yang sudah tersasar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Anwar dalam blognya, anwaribrahimblog.com di bawah entri 'Rasuah politik di sebalik Wakil Bebas Mesra BN' mendakwa wakil rakyat pembangkang yang melompat parti disogok dan diberikan kontrak bernilai jutaan ringgit.

Beliau juga mendakwa mempunyai bukti kukuh termasuk penglibatan pimpinan UMNO dan ejen-ejennya yang terlibat menganugerahkan rasuah politik kepada kumpulan yang digelarnya sebagai 'Wakil Bebas Mesra BN'.

Dalam pada itu, selain Zahrain, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng turut mencabar Anwar untuk mengemukakan bukti sekali gus mahu beliau mendedahkan perkara itu pada sidang Parlimen yang akan datang.

"Saya pun tengah tunggu dia tunjukkan bukti kerana perkara ini tidak boleh cakap sesuka hati kerana ia tidak adil kepada mana-mana wakil rakyat yang keluar parti, malah ia akan memberi kesan tidak baik," ujarnya.

Ezam anggap tindak-tanduk Anwar macam Thaksin

KUALA LUMPUR 28 Mei - Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd. Noor (gambar) menyifatkan pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sama seperti bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang sanggup berbuat apa sahaja asalkan kepentingan politiknya tercapai.

Sehubungan itu, katanya, tidak mustahil sekiranya terdapat dakwaan bahawa PKR mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berkonsepkan republik dan menolak sistem Raja Berperlembagaan sedia ada.

"Saya percaya bahawa Anwar dan PKR telah pun merencanakan strategi bagi meruntuhkan serta merosakkan institusi asas negara seperti institusi diraja dan menggantikannya dengan konsep republik.

"Mereka pastinya akan menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk kepentingan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, bekas Ketua PKR Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda mendedahkan mengenai wujudnya gerakan tersusun untuk mengubah struktur organisasi parti itu supaya menyerupai acuan politik di Indonesia yang berasaskan kepada konsep republik.

Katanya, perkara itu terbukti apabila nama-nama jawatan dalam parti itu ditukar supaya sama dengan apa yang diguna pakai oleh parti-parti politik di Indonesia.

Tambah beliau, paling menyedihkan, terdapat di kalangan pemimpin PKR di peringkat negeri adalah dari Indonesia yang langsung tidak tahu adat kesopanan dan budaya negara ini sehingga menimbulkan masalah di dalam parti.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim memberitahu, beliau tidak terkejut sekiranya PKR mahu menjadikan Malaysia sebuah negara republik kerana telah pun menjangka perkara tersebut sebelum ini.

Katanya, 'parti caca-marba' seperti PKR akan membuat apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka.

"Selain itu, parti ini juga banyak tunduk kepada kemahuan DAP demi menjaga hati mereka," katanya.

Jangan terpedaya jawatan 'TPM II'

KUALA LUMPUR 28 Mei - Masyarakat Cina diingatkan tidak mudah terpedaya dengan gimik politik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjanji melantik Timbalan Perdana Menteri di kalangan kaum itu jika pakatan pembangkang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr. Zainal Kling meskipun tawaran itu kelihatan 'menarik' bagi kaum berkenaan namun ia hanya akan mengundang implikasi paling buruk dalam konteks perpaduan antara kaum.

Jika itu yang berlaku, katanya, Malaysia akan berhadapan dengan krisis pertelingkahan kaum serta politik paling hebat dan sekali gus boleh melumpuhkan sistem ekonomi negara.

''Saya bercakap atas dasar fakta. Anwar dan rakan-rakannya sibuk memperjuangkan dasar kesamarataan tetapi adakah mereka tahu kesannya kepada negara? Adakah strategi politik seumpama ini memberi faedah kepada negara?

''Selama ini kaum Melayu, Cina, India, Kadazan, Orang Asli hidup dalam keadaan harmoni dan ini adalah hasil daripada wujudnya struktur pemerintahan seperti sekarang. Adakah kita mahu korbankan keharmonian ini semata-mata mahu menjayakan permainan politik sempit Anwar?,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas gimik politik terbaru Anwar yang dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Cina Nanyang Siang Pau yang disiarkan 25 Mei lalu berjanji akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Dalam pada itu, Zainal berkata, meskipun kaum Cina tidak diberi memegang jawatan nombor dua dalam Kabinet, kerajaan tidak pernah sekalipun mengabaikan masa depan mereka malah kaum berkenaan telah diberi peluang seluas-luasnya untuk membina kekayaan tanpa sekatan.

Pensyarah Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain pula berkata, tindakan Anwar itu boleh mencetuskan ketidakstabilan politik secara berpanjangan kerana ia didasari pada satu sistem yang tidak realistik.

''Mengapa saya berkata demikian? Ini adalah kerana tindakan Anwar itu langsung tidak berlandaskan Perlembagaan Persekutuan yang mana ia telah mengambil kira kepentingan semua kaum,'' katanya.

Sehubungan itu, beliau amat berharap kaum Cina di negara ini tidak mudah terpedaya dengan gimik politik terbaru Anwar.

''Janganlah kita korbankan kesenangan dan kemewahan yang dikecapi sekarang semata-mata untuk memenuhi hasrat politik Anwar,'' ujarnya.

Pensyarah Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr. Mohamed Mustafa Ishak pula menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai satu bentuk strategi politik terbaru khusus untuk meraih sokongan kaum Cina.

''Apakah muslihatnya hanya Anwar sahaja yang tahu. Persoalannya sekarang adakah Anwar benar-benar akan menunaikan janjinya?

''Berbanding kerajaan sekarang polisinya lebih terbuka dan jujur. Selama ini pun pemimpin kaum Cina tidak pernah disisihkan. Mereka sentiasa diberi peluang memegang pelbagai jawatan penting dalam Kabinet,'' katanya lagi.

Anwar janji jawatan TPM untuk DAP

KUALA LUMPUR 28 Mei – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memainkan gimik politik dalam usahanya untuk mendapat sokongan masyarakat Cina.

Terbaru, Anwar berjanji akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Janji Anwar itu jelas membuktikan beliau sanggup melakukan apa juga dengan hasrat untuk mempengaruhi pengundi-pengundi Cina yang ditafsirkan oleh pembangkang semakin menyebelahi mereka.

Matlamat Anwar ialah untuk memastikan momentum sokongan kaum Cina kepada pembangkang, sekali gus membolehkan beliau mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

Dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang disiarkan pada 26 Mei lalu, Anwar mendakwa pakatan pembangkang tidak mempunyai perasaan curiga jika ada di kalangan orang Cina layak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sambil memberitahu bahawa pakatan pembangkang sudah mewujudkan Kabinet bayangan, Anwar berkata, beliau telah dipilih menjadi calon Perdana Menteri.

Pada masa yang sama, katanya, pakatan itu bersetuju menambah jawatan Timbalan Perdana Menteri namun ia belum diputuskan lagi.

‘‘Jika ada yang lebih layak daripada dua orang atau pun ada keperluan dalam politik, saya anggap tidak salah jawatan Timbalan Perdana Menteri itu ada dua orang, sebaliknya ia lebih baik,’’ katanya.

Anwar juga percaya, jika keadaan memerlukan Pas akan menerima jika calon Timbalan Perdana Menteri II daripada kalangan DAP kerana kesemua anggota pakatan mempunyai hasrat yang sama iaitu menyingkirkan Barisan Nasional (BN) dan memerintah kerajaan pusat.

Dalam wawancara itu, Anwar mendakwa, walaupun konsep pemerintahan Pas berbeza dengan DAP, tetapi pada pilihan raya umum lalu, pakatan pembangkang telah banyak membuat perubahan.

CWC MIC tampil sekarang atau ditolak perwakilan - Mugilan

PETALING JAYA 28 Mei - Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC perlu tampil menyatakan sokongan terhadap Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) sekarang jika tidak mahu ditolak perwakilan dalam pemilihan parti pada 2012.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan berkata, kesemua anggota CWC bakal berhadapan dengan hukuman perwakilan MIC jika terus mendiamkan diri dalam menentukan arah tuju parti di bawah Datuk Seri S. Samy Vellu.

"Anggota-anggota CWC boleh melakukan pembaharuan jika mereka benar-benar mengambil berat situasi MIC kini.

"Kita tidak perlu mengadakan perhimpunan GAS lagi jika mereka bersedia untuk tampil dan melakukan pembaharuan (dalam tempoh 24 jam akan datang)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mugilan menyatakan keyakinan bahawa beberapa orang lagi anggota CWC akan tampil menyatakan sokongan terhadap GAS malam ini dan esok.

"Saya yakin mereka yang berjiwa rakyat dan mahu hayat MIC kekal serta terus maju akan tampil dalam mendesak Samy Vellu melepaskan jawatan Presiden parti.

"Masyarakat India tidak akan memaafkan mereka yang terus berdiam diri. Semua anggota CWC dan naib-naib presiden MIC perlu turut serta dalam menentukan masa depan kaum India, parti dan negara ini," katanya.

Berhubung teguran Setiausaha Agung MIC, S. Murugessan terhadap tindakan Samy Vellu memecat ahli parti, Mugilan menyatakan kritikan Murugessan itu merupakan pendapat peribadi seseorang yang bekerja rapat dengan Presiden dan lebih mengenali parti.

"Tindakan berani Murugessan menegur Samy Vellu secara terbuka memberi manfaat kepada kami tetapi bukannya atas desakan daripada saya atau mana-mana individu lain.

"Kami sememangnya berkawan baik dan sehaluan sejak menyertai parti pada tahun 2000 lagi tetapi lama tidak berhubung selepas beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung sementara saya di Pemuda MIC," jelasnya.

Tak wajar tuduh UMNO - Kayveas

BATU GAJAH 28 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Dr. M. Kayveas (gambar)berkata, S. Vell Pari tidak wajar mengeluarkan tuduhan biadab terhadap UMNO kerana MIC selama ini telah diberi tanggungjawab oleh Barisan Nasional (BN) untuk menjaga kepentingan kaum India.

Katanya, selama ini apa juga peruntukan serta bantuan kepada kaum India hanya disalurkan melalui MIC berdasarkan keyakinan BN kepada parti itu walaupun PPP sendiri mewakili lebih 40 peratus kaum tersebut.

"Kalau hendak buat program melalui Yayasan Strategik, peruntukan semua melalui MIC dan bantuan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) juga melalui MIC.

"Sekarang, siapa yang buat salah? Jadi, soal itu saya serah kepada mereka kerana antara mereka lebih tahu kerana saya tidak mahu nanti mereka kata saya campur tangan hal mereka pula," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat PPP negeri di sini hari ini.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas kenyataan biadab Vell Pari yang merupakan anak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu dan juga desakan oleh Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang mahu beliau berundur.

Menurut Kayveas, masalah dalaman MIC itu tidak harus terus dijadikan sebagai 'perang media' tetapi perlu diselesaikan secara baik oleh Samy Vellu dan MIC sendiri.

Perhimpunan GAS berpindah ke The Mines

PETALING JAYA 28 Mei - Perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) yang akan diadakan Ahad ini, dipindahkan ke Pusat Konvensyen dan Pameran Mines di Sungei Besi, selepas pihak pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dikatakan menghadapi tekanan dan masalah daripada pihak tertentu.

Sehubungan itu, bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan yang memaklumkan perkara tersebut mencabar Datuk Seri S. Samy Vellu memecat beribu-ribu ahli MIC yang bakal menghadirinya.

"Samy Vellu telah menggunakan pengalaman beliau sebagai seorang menteri untuk mendesak beberapa pihak dalam PWTC membatalkan penganjuran GAS di sana.

"Sehubungan itu, kami membuat keputusan untuk tidak menyusahkan mereka dan memindahkan GAS ke lokasi baru di Sungai Besi yang akan diteruskan pada pukul 2 petang, Ahad ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah dua bekas anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC, G. Kumar Aamaan dan K. P. Samy.

Tindakan Mugilan menempah dewan di PWTC untuk perhimpunan GAS menjadi antara asas anak Samy Vellu, S. Vell Paari menuduh UMNO mempunyai kaitan dalam usaha membunuh kerjaya politik bapanya.

Ekoran itu, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan mahu menilai semula kedudukan parti tersebut dalam Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Mugilan mendakwa, tindakan 'mendesak' pembatalan perhimpunan GAS di PWTC telah membawa kebaikan kepada gerakan tersebut kerana lokasi baru adalah lebih besar dan dijangka disertai lebih 15,000 ahli MIC dan masyarakat India dari seluruh negara.

"Lebih 80 peratus yang akan turut serta ini ialah ahli MIC dan ramai daripadanya merupakan ahli Pemuda MIC sendiri.

"Kami berterima kasih kepada pihak yang memberi tekanan kepada pengurusan PWTC kerana perubahan lokasi telah meningkatkan jumlah peserta daripada 10,000 kepada 15,000 orang yang jumlahnya dijangka terus meningkat.

"Saya cabar Samy Vellu pecat semua yang menyertai GAS. Biar Presiden MIC itu bawa satu meja untuk pekerja dari ibu pejabat MIC memeriksa maklumat setiap peserta seterusnya memecat beribu-ribu ahli MIC yang hadir," katanya.

Beliau memberitahu, pihak penganjur telah mendapatkan segala dokumen untuk meneruskan perhimpunan GAS termasuk permit polis untuk tapak baru tersebut.

Dalam pada itu, Mugilan turut menempelak pihak yang meniru ideanya dalam menganjurkan Gerakan Anti-Mugilan (GAM) di Hulu Selangor hari ini.

"Mereka ini memang tiada otak. Kenapa tiru idea saya?

"Saya tidak takut kena 'GAM' kerana mereka menggunakan dua orang 'rakan' saya sedangkan saya ada lebih 2,000 rakan rapat yang boleh melawan tohmahan mereka," tegasnya.

Vell Paari mohon maaf

KUALA LUMPUR 28 Mei — Anggota Jawatankuasa Pusat MIC (CWC), S. Vell Paari (gambar) hari ini memohon maaf atas dakwaan beliau bahawa UMNO mengupah 'pembunuhan politik' dan di belakang Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) untuk menyingkirkan Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden parti itu.

Vell Paari berkata, adalah jelas bahawa UMNO tidak terbabit dalam mana-mana cara dengan pergerakan GAS memandangkan perkembangan yang berlaku, baru-baru ini.

"Dan ramai pemimpin UMNO telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak menggalakkan atau bekerja dengan V. Mugilan (bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC) dalam sebarang cara pun.

"Dengan itu, saya ingin memohon maaf kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan UMNO mengenai kenyataan awal saya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan ringkas itu, Vell Paari menyifatkan kenyataan kontroversinya yang diutarakan kerana beliau merasakan adalah tugas beliau untuk membela ayahnya, Samy Vellu.

"Malahan, saya juga bertindak kerana Mugilan dan bekas anggota CWC, G. Kumar Aamaan telah mengulangi secara terbuka mengaitkan nama UMNO ke dalam kenyataan dan tindakan mereka baru-baru ini," kata beliau.

Vell Paari telah mendakwa bahawa UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' untuk mengasingkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam temu bual dengan laman web Free Malaysia Today pada Isnin lepas.

"Saya juga telah menjelaskan kedudukan saya kepada Perdana Menteri awal hari ini.

"Maju ke hadapan, saya harap kita boleh melupakan ini semua dan bekerjasama seperti yang kita sering ada dalam keluarga Barisan Nasional," kata beliau. - BERNAMA

Samy diberi seminggu letak jawatan

KUALA LUMPUR 28 Mei - Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam memberi tempoh selama seminggu mulai hari ini kepada Datuk Seri S. Samy Vellu untuk melepaskan jawatan tertinggi yang disandangnya dalam parti itu sejak 1979.

Bagaimanapun, katanya, pada masa ini, beliau akan mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' sehingga Presiden MIC itu tampil membuat kenyataan balas.

"Beliau meminta saya meletak jawatan dalam MIC dan saya sedia berbuat demikian sekiranya beliau juga sanggup untuk berbuat demikian.

"Apa pun, saya akan tunggu perkembangan terkini dalam tempoh seminggu ini sebelum membuat apa-apa keputusan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Subramaniam menyahut cabaran Samy Vellu untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua MIC Bahagian Seputeh jika Presiden MIC itu turut melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 31 tahun lalu.

Malah, katanya, beliau bersedia melepaskan jawatan itu esok (hari ini) sekiranya Samy Vellu juga mengambil langkah yang sama.

Menurutnya, beliau telah pun berfikir panjang sebelum mengambil keputusan tersebut dan sanggup melepaskan jawatan itu kepada timbalannya.

Murugesan tegur Samy

PETALING JAYA 28 Mei – Setiausaha Agung MIC, S. Murugesan menyifatkan tindakan Datuk Seri S. Samy Vellu menggunakan kuasa sebagai Presiden dengan memecat sesiapa juga yang menentang beliau boleh menggoncang demokrasi parti itu.

Katanya, tindakan sedemikian adalah tidak wajar memandangkan kesemua mereka yang dipecat tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri dan mengemukakan pandangan masing-masing.

“Saya menentang tindakan menggunakan kuasa Presiden untuk memecat anggota CWC (Jawatankuasa Kerja Pusat) yang meminta Samy Vellu bersara lebih awal kerana itu bukan fungsi sebenar Artikel 61.2 dalam Perlembagaan MIC. Kuasa Presiden sepatutnya menjadi pilihan terakhir.

“Jika dilihat kembali, Samy Vellu sendiri menjadi individu pertama secara terbuka menggesa bekas Presiden MIC, Tun VT Sambanthan meletakkan jawatan kira-kira 40 tahun lalu.

“Situasi kini menunjukkan sejarah telah berulang atau anda boleh katakan ia adalah ‘karma’ untuk Samy Vellu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Samy Vellu sebelum ini menggunakan kuasa Presiden untuk memecat bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan dan beberapa anggota CWC parti tersebut yang menuntut beliau bersara sebelum Julai ini.

Antara anggota CWC yang dipecat ialah G. Kumar Aaman, KP. Samy dan V. Subramaniam.

Khamis, 27 Mei 2010

Tunggu minggu depan - Syed Sobri

LOR SETAR 27 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim mengesahkan akan membuat pengumuman rasmi mengenai kedudukannya sebagai wakil rakyat Barisan Nasional (BN) pada minggu depan.

Katanya, beliau akan mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan sama ada akan meletakkan jawatan sebagai ADUN atau mempunyai alternatif lain berikutan isu terbaru yang melibatkan jawatannya sebagai wakil rakyat itu.

''Tunggu saya umum minggu depan,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kesahihan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) di kalangan warga media sejak malam tadi mengatakan beliau akan membuat pengumuman rasmi mengenai kedudukannya sebagai wakil rakyat BN.

Syed Sobri bagaimanapun tidak menjelaskan sebab beliau mahu mengumumkan kedudukannya sebagai wakil rakyat BN itu.

ADUN Kuala Nerang itu sebelum ini pernah dikaitkan dengan isu muflis tetapi pada penghujung 2008, beliau menafikan dakwaan berkenaan kerana telah menjelaskan hutang kepada pihak bank.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, Syed Sobri menewaskan calon Pas, Zawawi Ahmad dengan majoriti 805 undi.

Siasat siapa ahli korporat taja RPK - Musa

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kerajaan digesa menyiasat identiti ahli korporat di negara ini yang menaja pengendali portal berita antikerajaan, Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin sehingga beliau dapat menjalani kehidupan mewah di United Kingdom (UK).

Senator Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, beliau percaya terdapat ahli korporat yang digunakan oleh ahli politik untuk menaja kehidupan Raja Petra di UK seterusnya merancang untuk menghancurkan negara ini.

Menurutnya, siasatan seharusnya sudah lama dilakukan oleh kerajaan memandangkan umum mengetahui Raja Petra merupakan seorang muflis dan tidak berharta tetapi mampu hidup dengan mewah di luar negara.

''Kerajaan tidak boleh tunggu dan menunjukkan mereka lemah dalam hal ini. Siasatan harus dilakukan segera bagi mengenalpasti dalang yang selama ini menaja Raja Petra untuk menjalankan kegiatan bagi menghancurkan negara ini.

''Saya juga percaya Raja Petra ditaja oleh ahli korporat di negara ini yang digunakan oleh ahli politik untuk mencapai kepentingan peribadinya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kemunculan semula Raja Petra Sabtu lalu dan cabaran yang dilemparkan kepada pihak berkuasa agar membawa segala pertuduhan yang dikenakan ke atasnya di mahkamah UK.

Raja Petra seperti dilaporkan portal berita propembangkang, Malaysia Today serta Malaysian Insider dan Malaysiakini mendakwa, dia sedia berhadapan dengan semua pertuduhan itu kerana menganggap UK sebagai 'wilayahnya'.

Pengendali Malaysia Today itu menghilangkan diri sejak lapan bulan lalu selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei tahun lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Mengulas lanjut, Musa berkata, Raja Petra seharusnya sedar bahawa dia sedang dipergunakan dan apabila penajanya mengalami kejatuhan dalam karier politiknya, beliau akan dilupakan begitu sahaja.

''Raja Petra harus sedar diri dan jangan diperkudakan oleh ahli politik tersebut yang matlamatnya hanya satu iaitu untuk mencapai kepentingan dirinya sendiri," katanya.

Mengenai tindakan Raja Petra mencabar pihak berkuasa supaya mengadilinya di mahkamah UK, Musa berkata, pengendali portal Malaysia Today itu tidak seharusnya takut jika beliau tidak bersalah.

''Sekiranya Raja Petra benar-benar tidak bersalah, balik ke Malaysia dan buktikan beliau tidak bersalah," katanya.

PKR mahu jadikan Malaysia republik?

KUALA LUMPUR 27 Mei - Seorang bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mendedahkan mengenai wujudnya gerakan tersusun untuk mengubah struktur organisasi parti itu supaya menyerupai acuan politik di Indonesia yang berasaskan kepada konsep republik.

Bekas Ketua PKR Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda berkata, perkara itu terbukti apabila nama-nama jawatan dalam parti itu ditukar supaya sama dengan apa yang diguna pakai oleh parti-parti politik di Indonesia.

Beliau berkata, sejak pindaan Perlembagaan PKR tahun lalu, jawatan penasihat parti ditukar kepada ketua umum, ahli dipanggil anggota, pemuda ditukar kepada angkatan muda, bahagian dipanggil cabang dan cawangan ditukar kepada ranting.

"Paling menyedihkan terdapat di kalangan pemimpin PKR di peringkat negeri adalah dari Indonesia yang langsung tidak tahu adat kesopanan dan budaya kita sehingga menimbulkan masalah di dalam parti.

"Kita harus sedar Indonesia merupakan negara republik yang membuang sistem beraja. Adakah dengan penstrukturan organisasi PKR ini menggambarkan bahawa Malaysia suatu hari nanti akan mengikut jejak langkah Indonesia apabila parti berkenaan mendapat kuasa nanti?" soalnya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir bekas Ketua Penerangan Wanita PKR Perak, Soraya Sulaiman dan bekas Pengarah Strategi Wanita PKR negeri itu, Roshanita Mohd. Basir.

Pada 11 Mei lalu, Fauzi, 51, meletakkan semua jawatan dan mengisytiharkan keluar daripada parti itu selepas tidak berpuas hati dengan kumpulan yang didakwa sebagai "syaitan besar" dalam PKR Perak kerana cuba menjatuhkan beliau dan menghalangnya menghadiri Kongres Nasional PKR keenam di Kelantan pada Sabtu dan Ahad ini.

Kumpulan itu juga dikatakan telah melobi supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd. Radzi tidak dilantik sebagai Menteri Besar Perak selepas pilihan raya umum lalu.

Mereka juga dikatakan menjadi punca Jamaluddin; ADUN Changkat Jering, Kapten (B) Mohd. Osman Jailu dan Ahli Parlimen Bagan Serai, Mohsin Fadzli Samsuri meletak jawatan dan keluar PKR baru-baru ini.

Dalam pada itu, menyentuh mengenai sebab-sebab lain beliau keluar parti, Fauzi berkata, PKR kini telah kehilangan hala tuju dan ia terbukti apabila Perlembagaan parti yang dipinda pada 2009 tidak lagi mencatatkan prinsip utama perjuangan parti itu.

"Pada 1999 ketika penubuhan Parti Keadilan Nasional (Keadilan), prinsip perjuangan kita berlandas kepada 10 perkara termasuk bagi memartabatkan sistem beraja dan hak bumiputera serta orang Melayu.

"Apabila ia bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan ditukar nama menjadi PKR pada 2003, prinsip berkenaan dihapuskan dan digantikan dengan moto kesaksamaan untuk semua dan selepas 2009, kita sendiri tidak tahu apa sebenarnya prinsip utama perjuangan parti," tegasnya.

Tambah Fauzi, beliau juga tidak berpuas hati dengan sikap rakus pemimpin PKR di Perak yang sibuk merebut kekayaan peribadi sehingga ramai di kalangan mereka menjadi 'jutawan segera' sehingga mampu membeli rumah dan kereta mewah.

"Saya akan buktikan segala dakwaan ini adalah benar dengan membuat aduan secara terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila sampai saat dan ketikanya," ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Fauzi yang menegaskan beliau tidak berminat menyertai UMNO berkata, sesi penerangan akan diadakan di seluruh negara bagi menjelaskan secara terperinci kepada ahli dan penyokong PKR mengenai tindakannya meninggalkan parti itu.

"Saya akan menggunakan platform pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyedarkan ahli dan penyokong PKR bahawa ia adalah parti yang berbahaya kepada negara,'' katanya.

Permit sudah dapat, perhimpunan GAS tetap diteruskan

PETALING JAYA 27 Mei - Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu didakwa cuba memberi tekanan terhadap pengurusan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) supaya penganjuran Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang dijadualkan Ahad ini tidak dapat dilangsungkan.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC yang dipecat oleh Samy Vellu, V. Mugilan berkata, tindakan itu jelas menunjukkan Presiden MIC tersebut bimbang dengan GAS yang dijangka dihadiri oleh ribuan penyokong.

"Saya masih berbincang dengan PWTC namun perhimpunan itu tetap akan diteruskan kerana sudah mendapat permit polis malah kami juga mempunyai pelan B jika berlaku sesuatu yang tidak diingini,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang turut dipecat, G. Kumar Aamaan dan KP Samy serta Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, P. Palaniappan.

Mengulas lanjut, Mugilan berkata, beliau juga menerima maklumat ada pengusaha bas dari Pulau Pinang yang diberi amaran supaya tidak membawa penyokong ke ibu negara pada tarikh perhimpunan itu diadakan.

Beliau turut mendakwa ada maklumat mengatakan terdapat usaha untuk menghalang ahli menghadiri perhimpunan GAS tersebut dengan memberikan mereka sejumlah wang.

Ketika ditanya sama ada beliau akan melaporkan kepada pihak berkuasa tentang pemberian wang tersebut, Mugilan berkata, ia tidak perlu.

"Itulah cara orang yang tidak matang berpolitik, jadi tidak ada apa yang perlu dilaporkan.

"Malah saya menasihati mereka (ahli) jika diberi wang, ambil sahaja kerana itu hak mereka tetapi datang juga perhimpunan Ahad ini," katanya.

Sementara itu, ditanya tentang kenyataan Vell Paari bahawa beliau akan berundur sekiranya ayahnya berbuat demikian, Mugilan berkata, itu merupakan satu jenaka besar.

"Saya cabar Vell Paari, lepas ayahnya letak jawatan, masuklah melalui pintu depan, kalau benar dia seorang yang ada kredibiliti, sudah pasti masyarakat India akan memilihnya," katanya.

Rekod Samy Vellu perlu diiktiraf - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR 27 Mei - Datuk Seri S. Samy Vellu sepatutnya menerima pengiktirafan kerana mungkin telah mencipta satu rekod baru sebagai ahli politik paling lama memegang tampuk kepimpinan sebuah parti politik di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Presiden MIC tersebut telah 'memerintah' lebih lama daripada tempoh beliau sebagai Perdana Menteri iaitu selama 22 tahun dan kerana itu, Samy Vellu perlu diberi pengiktirafan.

Ditanya mengenai kemelut jawatan Presiden MIC itu, beliau mengulangi kenyataannya bahawa "kita tidak sepatutnya tinggal lebih lama daripada yang dialu-alukan".

"Saya bukan mewakili UMNO dalam berkata demikian, tetapi 'pergi sebelum orang benci' menjadi antara sebab saya melepaskan jawatan tertinggi negara tujuh tahun lalu," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Penuaan Sihat Malaysia Kelima di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut jawatan Presiden MIC yang tidak berubah sejak 1979 sehingga mendorong pembentukan gerakan menentang kepimpinan Samy Vellu oleh sebahagian anggota parti itu dan masyarakat India.

Isu tersebut menjadi semakin hangat apabila anak Samy Vellu, S. Vell Paari mengaitkan UMNO dengan gerakan membunuh kerjaya politik bapanya itu sementara Ketua Pemuda MIC, T. Mohan menyatakan akan mengkaji kedudukan parti tersebut dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO terlibat dalam pembentukan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS).

Samy Vellu yang menerima desakan beberapa pihak supaya meletak jawatan pada Julai ini, hanya akan bersara dalam tempoh lapan atau sembilan bulan sebelum penggalnya berakhir pada Mei 2012.

Ditanya media mengenai kenyataan Vell Paari, Dr. Mahathir menegaskan pihak yang membuat dakwaan tersebut perlu membuktikannya terlebih dahulu.

"Dia (Vell Paari) kena beri bukti yang jelas dahulu menunjukkan UMNO terlibat (menjatuhkan bapanya) seperti yang didakwa sebelum ini," tegasnya.

MT perlu bincang isu Vell Paari, Mohan

KUALA LUMPUR 27 Mei - Mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) UMNO perlu diadakan bagi membincangkan tuduhan anak Presiden MIC, S. Vell Paari dan Ketua Pemuda parti itu, T. Mohan bahawa pemimpin UMNO terbabit dalam Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS).

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, MT perlu mengambil sikap serius dengan tuduhan itu memandangkan Datuk Seri S. Samy Vellu sendiri dilihat seperti menyokong segala dakwaan yang telah dibuat oleh kedua-dua individu terbabit.

''UMNO tidak perlu sekadar mengeluarkan kenyataan menerusi media, sebaliknya MT perlu segera mengadakan mesyuarat khas berhubung isu ini.

''Jika perlu, usul boleh dikemukakan kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) supaya Vell Paari dan Mohan disingkirkan atas keputusan majoriti,'' katanya dalam bloghttp://umnobahagiancheras.blogspot.com hari ini.

Dalam pada itu, Syed Ali meluahkan perasaan kesal dengan sikap Samy Vellu yang berdiam diri dengan perbuatan Vell Paari yang semakin angkuh untuk membuat ugutan secara terbuka terhadap UMNO.

''Sikap membisu Samy Vellu menunjukkan seolah-olah beliau juga bersubahat dengan Vell Paari untuk mengecam pemimpin UMNO," tegasnya.

Katanya, terdapat kemungkinan Samy Vellu memusuhi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan menggunakan anaknya untuk membuat tuduhan bagi membangkitkan kemarahan pemimpin UMNO.

''Kita tidak boleh pandang ringan isu berkenaan. Barangkali ini adalah muslihat yang dirancang untuk menimbulkan kebencian rakyat pelbagai kaum terhadap UMNO,'' ujarnya.

Tambah beliau, UMNO tidak perlu takut dengan pengundi India kerana pengaruh MIC dan presidennya sudah merosot.

''Lagipun pada pilihan raya umum lalu banyak calon MIC yang tewas termasuk Samy Vellu dan ini membuktikan pengundi India sudah bijak membuat penilaian,'' katanya.

Subramaniam sahut cabaran lepas jawatan

KUALA LUMPUR 27 Mei - Bekas Timbalan Presiden MIC, Datuk S. Subramaniam menyahut cabaran Datuk Seri S. Samy Vellu untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua MIC Bahagian Seputeh jika Presiden MIC itu juga melepaskan jawatan yang disandangnya sejak 31 tahun lalu.

Malah katanya, beliau bersedia melepaskan jawatan itu esok sekiranya Samy Velly juga mengambil langkah yang sama.

Menurutnya, beliau telah pun berfikir panjang sebelum mengambil keputusan tersebut dan sanggup melepaskan jawatan itu kepada timbalannya.

''Saya bersedia meletakkan jawatan saya berkuat kuasa esok, tetapi syaratnya Samy Vellu pun harus memberi surat peletakan jawatannya bersama saya.

''Jika beliau memerlukan masa untuk memikirkan mengenai hal itu, beliau boleh mengambil masa seminggu. Saya akan menunggu dan kami boleh memberi surat perletakan jawatan itu bersama-sama,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, Samy Vellu pada program Soal Jawab yang dikendalikan oleh Datuk Ahmad A. Talib di TV3 berkata, Subramaniam juga patut meletakkan jawatan daripada MIC kerana telah menjadi ahli MIC yang paling lama.

Tambah Subramaniam, beliau hanya Ketua Bahagian dan tidak ada masalah untuk melepaskan jawatan itu serta mempunyai keyakinan yang tinggi terhadap timbalannya.

''Kenapa Samy Vellu mengaitkan saya dalam hal ini? Saya tidak membuka mulut sejak masalah dalaman MIC meletus baru-baru ini. Beliau harus fikir dulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,'' ujarnya.

Dalam pada itu, beliau meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya campur tangan bagi menyelesaikan masalah dalaman MIC demi masa depan parti berkenaan.

''Hanya Perdana Menteri atau timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mampu menenangkan situasi hangat hari ini kerana sejak kebelakangan ini hubungan UMNO dan MIC sudah mula renggang ekoran kenyataan yang dilemparkan oleh anak Samy Vellu, S. Vell Paari dan Ketua Pemuda MIC, T. Mohan,'' jelasnya.

Subramaniam juga menyeru Vell Paari supaya bertanding bagi mendapatkan kerusi anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC untuk menyatakan pendirian atau bagi mengeluarkan kenyataan berhubung parti itu.

''Beliau telah dilantik oleh ayahnya untuk menduduki kerusi CWC itu, maka beliau tidak layak untuk mengeluarkan kenyataan dan tidak ada kuasa untuk melemparkan tuduhan liar terhadap saya,'' ujarnya.

'Samy, renungilah nasihat saya'

PUTRAJAYA 27 Mei - Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang berpengalaman bekerja di bawah kepimpinan lima Perdana Menteri mempunyai nasihat yang diharap beliau dapat direnung dengan hati yang ikhlas dan luhur oleh Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

"Sahabat saya Datuk Seri S. Samy Vellu perlu tahu zaman sebagai pengikut sudah sampai.

"Zaman sebagai pucuk pimpinan sudah berakhir. Ikan sentiasa busuk dan rosak dahulu di kepala, bukan di badan atau ekornya," kata beliau dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia hari ini.

Sehubungan itu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu menyelar tindak tanduk anak Presiden MIC itu, Vell Paari yang menuduh UMNO melakukan 'pembunuhan politik' untuk memecahbelahkan MIC.

"Kelakukan Vell Paari menampakkan politik dinasti keluarganya.

"Bapa diam, anak terpekik mengutuk UMNO sebagai kambing hitam, sedangkan kambing hitam ialah diri sendiri.

"UMNO dicari, disanjung bila beri keuntungan pada diri. (Sebaliknya) UMNO diberi tahi bila diri tersepit oleh politik perbalahan dalaman sendiri," katanya.

Menurut Rais, beliau berkeyakinan penuh bahawa keutuhan MIC masih ada tetapi cuma kepimpinannya masa kini sudah berlalu.

Justeru, beliau meminta Samy Vellu agar jangan takut untuk beredar menjadi pengikut apabila sudah gagal menjadi pemimpin.

Kata beliau: "Pimpinan Barisan Nasional jangan gentar dengan kenyataan Vell Paari kerana ia datang daripada seorang yang sedang beredar dari dalam untuk keluar,"

"Yang penting ialah suara masyarakat India di Hulu Selangor khasnya dan masyarakat 1Malaysia amnya yang mahukan perubahan," ujarya.

Proses pemutihan UMNO


Najib Tun Razak melihat sesuatu yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman dengan diperhatikan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal serta Naib Ketua Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Mei - UMNO telah melakukan proses pemutihan dengan mengeluarkan kira-kira 380,000 nama daripada daftar keahliannya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO itu berkata, proses berkenaan menjadikan jumlah keahlian sebenar UMNO pada masa ini ialah seramai 3,159,454 orang.

Katanya, langkah itu dilakukan kerana UMNO mahu rekod keahliannya melambangkan kekuatan sebenar parti tanpa sebarang pertikaian.

"Setakat ini, melalui proses pemutihan itu kita telah keluarkan lebih kurang 380,000 ahli kerana ada yang tidak dapat dikesan, ada yang telah meninggal dunia dan sebagainya.

"Jadi jumlah ahli UMNO yang dapat kita sahkan ialah seramai 3,159,454 orang," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, mesyuarat MT UMNO juga membuat beberapa rumusan mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu baru-baru ini yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, walaupun perkara itu dalam konteks BN Sarawak, UMNO perlu ambil tahu kerana parti itu turut bergantung kepada kekuatan parti komponen khususnya di negeri berkenaan.

"Ada kekuatan dan kelemahan kita tapi kita tidak akan sebut secara terbuka, biarlah ia menjadi proses dalaman yang wajar dilalui parti kita.

"Proses muhasabah ini lebih menguntungkan dan berfaedah jika dibuat secara dalaman daripada kita meluahkan ia secara terbuka," tegasnya.

Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat hari ini turut memberi penekanan bahawa program Juara Rakyat mesti dilaksanakan mengikut garis panduan parti iaitu melibatkan penyertaan rakyat jelata.

"Perkara itu kita telah ulangi semula dalam mesyuarat ini dan kita minta semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri memberi tumpuan supaya jentera parti kita bukan sahaja bergerak cergas tetapi menepati kumpulan sasar yakni rakyat teramai," katanya

Rabu, 26 Mei 2010

PAS MEMBELA ATAU MENGKHIANATI ISLAM ?

PAS haramkan Islam Hadhari kemudian bersubahat meluluskan Gereja Terbesar di Asia !!!


PAS melabelkan diri sebagai Parti Islam yang memperjuangkan Agama Islam.Parti syurga untuk ahlinya, Betul ke? Selama ini PAS mendakwa UMNO menolak Islam dan tidak Islamik.Betul ke? Jawapannya siapa yang mengkhianati Islam? Kalau bukan PAS ! Biar kita bongkar pengkhianatan PAS !!!
Mula-mula Hasan Ali ( PAS ) mengharamkan Islam Hadhari tanpa sebab munasabah, hanya kerana Islam Hadhari UMNO yang buat.Setahu saya 10 prinsip dalam Islam Hadhari lengkap dengan Rukun Islam dan Rukun Iman.Kalau haramkan Islam Hadhari sama dengan haramkan Islam itu sendiri.Apa hukum Hasan Ali buat macam nie !!!
Kemudian PAS dengan Pakatan Pembangkang ( PR ) luluskan akta pembinaan rumah ibadat tanpa had.Apa motif sebenar PAS? Hasilnya Calvary Convention Centre ( CCC ) gereja yang terbesar di Asia telah dibina di Petaling Jaya berhampiran Bukit Jalil sekarang ini.Siapa yang nak bertanggungjawab? PAS HARAMKAN ISLAM HADHARI KEMUDIAN LULUSKAN GEREJA TERBESAR DI ASIA ! Hai ! Pemimpin dan ahli PAS kena jawab di dunia sebelum kena soal di akhirat.
Kononnya itu hak kebebasan beragama semua bangsa di Malaysia.Jadi Kristian boleh bina gereja ikut suka hati dan di mana-mana pun.Bila 5 EXCO Selangor beragama Kristian maka pentadbiran Selangor pun di Kristiankan.Sekarang ni paderi pun dapat elaun sama dengan imam.Peruntukan sama dengan peruntukan agama Islam.PAS kena jawab !
PAS benarkan pula penggunaan nama Allah dalam kitab Bible atau gereja untuk Kristian.Katanya biar nama Allah digunakan semua bangsa dan agama.Khalid Samad dan Zulkefly Ahmad pun setuju dan menyokong usul di Parlimen.Siapa yang ajar PAS jadi macam nie? PAS kena jawab !! Nasib generasi akan datang jangan dimusnahkan !!!
Khalid Ibrahim pun sudah mula masuk kuil, lepas nie makin berkembanglah kuil dan tokong di negeri Selangor.Apa pendirian PAS? Hak sama rata semua kaum?
Nizar pun dah dibolehkan oleh Nik Aziz pegang lilin untuk upacara solidarity.Adat orang Kristian menghormati orang mati.PAS kena bertanggungjawablah kerana kuasa, akidah digadaikan ! Kalau orang Islam lain ikut macam mana?
Dosa PAS yang paling besar bila janji nak membanteras maksiat di Selangor.Terbukti sekarang Selangor menjadi syurga maksiat, dulu cuma ada 1360 pusat hiburan sekarang bertambah TIGA KALI GANDA menjadi 3650 pusat hiburan.Bukan berkurang malah bertambah banyak.
Bukan sekadar maksiat yang berlaku malah kelakuan orang Islam minum arak di khalayak ramai semakin menjadi-jadi.Apa pemimpin PAS buat? Biarkan hak sama rata !!
Puncanya PAS mengkhianati janji, dulu PAS kata hendak tutup kilang arak sebaik saja memerintah, sekarang bukan kata hendak tutup hendak cadang kurangkan penjualan arak pun dah kena tempelak oleh DAP.Hasan Ali dalam kempen PRU ke 12 berucap di Gombak, " Malam nie kita menang, esok pagi kita bawa rantai dan manggakan kilang Carlsberg di Shah Alam dan PJ.Apa susah sangat yang pemimpin BN tidak boleh buat". PAS cakap tidak serupa bikin.Penipu besar.
Bila EXCO Selangor meluluskan kandang babi 100 juta seperti diumumkan Teresa Kok, Halimah membela keputusan EXCO katanya, "Pegang Babi dibolehkan, lepas pegang kita samaklah". Halimah nie agamanya apa? Jangan main-main dengan hukum agama, kalau dikatakan haram maka haramlah.
Punya bodoh PAS dan PKR, DAP cuma tunjukkn bahawa yang berkuasa sekarang bukan Melayu Islam tetapi Cina dan India Kristian.Jadi jangan main-main dengan bukan Melayu.Yang depa dok sokong apa pasai !!!!
Hari ni PAS sokong pula bila Xavier nak guna duit zakat untuk bantu orang India.Lebih jahil bila Khalid Ibrahim mencadangkan dalam sidang DUN nak gunakan duit Baitulmal untuk pembangunan dan pengurusan seperti membina jambatan kelang bernilai RM 250 juta dan membayar gaji pekerja.PAS buat apa?Hasan Ali bersetuju dengan cadangan ini.
PAS menjadi punca umat Islam di negeri Selangor berpecah belah.Masjid dan surau digunakan untuk medan politik sepenuhnya.Tempat untuk penceramah PAS melepaskan geram kepada org UMNO.Medan untuk menabur fitnah dan mengata keburukan orang UMNO.Pemimpin PAS lebih banyak dosa dan kita perlu dedahkan supaya pemimpin PAS bermuhasabah diri.
Perlantikan Jawatankuasa Masjid dan Surau dipilih hanya dari ahli PR.Walaupun semasa undian dibuat calon-calon yang mendapat sokongan ramai bukan penyokong PR.Ada yang kalah dan tidak dalam senarai pun dilantik.DEMOKRASI APA NIE !!!! Keadaan ini menyebabkan berlaku ketegangan dibeberapa tempat.
Kalau dulu mereka mengatakan duit UMNO haram tetapi kebanyakan tabungan di masjid dan surau adalah duit UMNO yang menjadi rebutan pemimpin PR sekarang.Mereka mempersoalkan kemana perginya duit masjid dan surau yang dulu banyak, maknanya mereka nie hendak jadi jawatankuasa masjid dan surau hanya kerana duit.
Patutlah tuhan tunjukkan perangai pemimpin Pakatan Pembangkang ( PR ), apabila ada kes monyet masuk ke masjid yang berlaku di Kuala Langat baru-baru ini, mungkin inilah perangai jawatankuasa masjid PR yang ada sekarang.
Rakyat ada masa hendak fikirkan siapa sebenarnya yang memperjuangkan Islam siapa sebenarnya yang mencemarkan Islam.Cuba fikir kalaulah ada pemimpin yang mengkafirkan orang Islam, memaki hamun orang, memfitnah orang, memanggil seseorang dengan gelaran yang buruk seperti bapak setan, ADAKAH KITA AKAN PANGGIL ORANG INI SEBAGAI INILAH PEJUANG ISLAM

GANGSTER DAN RASUAH !

Pejabat EXCO Selangor digunakan untuk pertemuan dan mengatur perjalanan kegiatan KONGSI GELAP dan Gengster

Dakwaan WEE CHOO KEONG, Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju yang mendedahkan budaya gengster dan rasuah dalam DAP Selangor sangat membinbangkan.Malah Pejabat EXCO Selangor pun dijadikan tempat berkumpul kumpulan gengster.Ini amat memeranjatkan.Lebih memalukan EXCO terbabit menyalahgunakan kuasa untuk melindungi kegiatan gengster dengan kedudukan yang dia ada.Ini skandal besar kerajaan Pakatan Rakyat.
Dakwaan ini dibuat bukan oleh ahli Barisan Nasional tetapi oleh Ahli Parlimen PKR sendiri !. Maka tidak timbul soal konspirasi menjatuhkan DAP.Tetapi kenyataan ini perlu dijawab oleh pemimpin DAP dan kerajaan Pakatan Rakyat.Betul ke salah bukan persoalan tetapi bila sudah ada pendedahan maka kena bertanggungjawab dengan dakwaan.
Seorang EXCO kerajaan Negeri dipercayai Ronnie Liu telah menjadikan pejabatnya sebagai tempat perbincangan kumpulan kongsi gelap mengatur perjalanan kegiatan mereka seperti pusat hiburan,karaoke,ruah urut,tempat pelacuran,dadah, hinggalah kepada kegiatan mencuri pasir dan penjualan vcd lucah.
Sebab itu jelas kenapa mudah sangat lesen pusat hiburan diluluskan,kalau dulu mengikut maklumat MKN hanya ada 1360 pusat hiburan di Selangor tapi sejak Pakatan Rakyat memerintah sekarang sudah meningkat menjadi 3650 pusat hiburan.Agak memeranjatkan ! Cuma dalam masa 16 bulan memerintah pusat hiburan boleh meningkat menjadi 3 kali ganda.Siapa yang hendak bertanggungjawab.


Mengikut maklumat MKN,dulu cuma ada 1360 pusat hiburan tapi sejak Pakatan Rakyat memerintah sudah meningkat TIGA KALI GANDA menjadi 3650 pusat hiburan di Selangor.


Kalau betullah angka ini bermakna Selangor sudah menjadi syurga maksiat.Siapa yang kisah? Rakyat Selangor nampaknya tidak berapa kisah sebab kita tidak pernah dengar bantahan rakyat kepada kerajaan negeri.Rakyat Selangor kena ingat ancaman gejala kerosakan akhlak berpunca daripada pusat hiburan yang tidak dikawal yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan.Kesannya penjualan arak berleluasa tanpa kawalan.
Ronnie Liu juga telah menyelamatkan rakan kongsi gengster daripada penguatkuasaan PBT apabila mengarahkan penguatkuasa MBSA memulangkan rampasan arak ke kedai serbaneka yang menjual minuman keras.Alasannya cukup mudah minuman yang dirampas bukan sebahagian dari arak sebab kandungan alkohol cuma 15 peratus.Apa punya bodoh Ronnie Liu, kalau namanya sudah Carlsberg dan Tiger sama ada dalam tin atau botol, minuman ini tetap keluarga arak yang boleh memabukkan.
PAS baru cadang hendak kawal penjualan arak pun dah dibedal dengan Ronnie Liu.Belum pun sebut nak tutup kilang seperti janji PRU 12 dulu.Hasan Ali and the geng tidak berani hendak tentang lebih-lebih takut hilang jawatan EXCO.MB pun menyebelahi Ronnie Liu.Pelik PAS lebih takut kehilangan jawatan didunia daripada melaksanakan perintah Allah.Tahniah ! Bila Hasan Ali dan PAS jadi TAUKE BIR sama dengan DAP


Cakap tak serupa bikin !!!
Hasan Ali + Khalid Ibrahim + Ronnie Liu = TAUKE BIR !!!


Bukan ini sahaja kesalahan Pakatan Rakyat Ronnie Liu ( DAP ), sekali lagi didakwa meluluskan 83/172 kerja bernilai RM 500 ribu secara terus kepada seorang kontraktor cina bernama Wang Chuan How amat mengejutkan.Ini bukan kroni lagi tapi sah agaknya syarikat milik sendiri.Ini bukan rasuah tapi bapak rasuah.Nasib baik Ronnie Liu ( DAP ) yang buat, kalau kerajaan yang buat lumat dikerjakan.Ronnie Liu tak berani buat laporan kepada Polis, lepas didesak oleh presiden PKR baru berani buat.
Ini belum kes Rodziah yang didakwa salah guna peruntukan mencecah RM 375,000 seperti didakwa dalam media baru2 ini.Rodziah beri peruntukan kepada 7 syarikat yang berkait, rekod hakmiliknya dipercayai seorang yang bernama Saadon.Siapa Saadon nie? Kronilah siapa lagi ! Sampai Rodziah menaruh kepercayaan yang teramat sangat..Ronnie bapak rasuah manakala Rodziah ibu segala rasuah !!!
Ini belum lagi isu pasir, amat memalukan bila Khalid Ibrahim dengan sombong menyatakan dihadapan DYMM Sultan Selangor, sasaran kerajaan negeri untuk kutipan pasir ialah sebanyak RM 150 juta.Bila dibentangkan baru--baru ini cuma dapat kutip RM 4.4 juta.Peliknya tidak mungkin pengeluaran pasir di Selangor hanya sebanyak tu, Azmin Ali ( PKR ) menyatakan rasa MALU atas kegagalan Kerajaan Pakatan Rakyat menguruskan ekonomi negeri Selangor terutama dengan kutipan pasir yang jauh tersasar daripada jangkaan.Memang tidak masuk akal.


Azmin Ali ( PKR ) malu dengan prestasi ekonomi Selangor bila kutipan pasir hanya RM 4.4 juta dari jangkaan awal RM 150 juta.


Iskandar bagi alasan, jumlah itu hanya kutipan syarikat yang sah dilantik dan urusan kutipan pasir yang tidak sah dia tidak bertanggungjawab..Iskandar jangan main2 ini tugas EXCO yang perlu dilaksanakan, kalau ada kecurian pasir EXCO kena kuatkuasakan undang-undang dan jangan lepas tangan.Lainlah kalau Iskandar juga dapat habuan berjuta-juta !!!
Maknanya gengster curi pasir terus berleluasa tanpa takut ancaman penguatkuasaan.Kerana bapak gengster Ronnie Liu dengan kerjasama intimnya dengan Iskandar terus menjadi penyelamat dan pelindung kumpulan gangster nie.
Kalau macam nielah keadaan Kerajaan Pakatan Rakyat memerintah negeri Selangor alamat terlingkuplah ekonomi kerajaan negeri.Meranalah rakyat negeri Selangor.

BANGUNLAH WAHAI RAKYAT NEGERI SELANGOR JANGAN NANTI BILA DH TERJUAL NEGERI INI KEPADA GENGSTER DAN BANGSA LAIN BERU NAK SEDAR.BUATLAH KEPUTUSAN SEBELUM TERLAMBAT !!!

Selasa, 25 Mei 2010

Exco kecewa Kelantan juara tidak bermoral

KOTA BHARU 25 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar dukacita kerana Kelantan menjadi 'juara' dalam pelbagai perkara yang tidak bermoral.

Beliau menyifatkan gejala itu memperlihatkan gambaran masyarakat negeri ini masih jahil dan jauh daripada kehidupan beragama di sebalik status negeri yang mengeluarkan ramai ulama.

"Sungguh mendukacitakan dalam negeri ini yang merupakan tempat lahirnya ramai ulama dan tempat berkembangnya institusi pondok, kita juga menjadi juara dalam pelbagai perkara tidak bermoral.

"Apa yang masyhur semuanya di sini. Yang tinggi (jumlah penghidap) HIV nombor satu pun di sini, yang ulama pun di sini, pelik sungguh," katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap merasmikan majlis Taklimat Kesedaran Keganasan Rumah Tangga dan HIV/AIDS di Dewan Besar, Balai Islam Lundang di sini hari ini.

Lebih 300 imam, penggiat masyarakat, pendakwah halaqat dan wakil pertubuhan bukan kerajaan hadir dalam sesi taklimat yang disampaikan wakil dari Universiti Sains Malaysia, Jabatan Kesihatan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia.

Wan Ubaidah berkata, antara perkara yang dikesalkan adalah rekod Kelantan sebagai negeri nombor satu yang paling ramai mencatat jangkitan HIV/AIDS pada 2008.

Katanya, pada tahun itu, 47 peratus daripada 72,041 kes jangkitan di seluruh negara adalah kes dari negeri ini dan ia juga merupakan peningkatan lebih empat peratus daripada tahun sebelumnya.

Jelasnya, peningkatan kes itu bukan sahaja akibat daripada pengambilan najis dadah tetapi hubungan seksual yang berlaku dengan pasangan yang menagih sama ada menerusi ikatan perkahwinan atau tidak.

Sehubungan itu, katanya, institusi masjid perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan para penggeraknya perlu memainkan peranan mengekang kegiatan tidak bermoral yang berlaku dengan berleluasa dalam masyarakat.

"Masjid perlu kita jadikan satu institusi untuk membaiki keadaan, kalau tidak ia akan menjadi serupa dengan gereja yang hanya penuh pada Ahad sebagaimana masjid dilimpahi hanya pada Jumaat," katanya.

Katanya, para imam perlulah melaksanakan apa sahaja aktiviti terutamanya dalam membendung apa sahaja kegiatan tidak bermoral yang begitu berleluasa dalam masyarakat kita.

"Masalah kebejatan sosial yang berlaku sekarang bukanlah kerana kesilapan lelaki atau wanita tetapi ia masalah bersama.

"Kita janganlah mengajar tentang hukum fiqah dan solat semata-mata, tetapi kalau boleh peluang itu digunakan untuk menerangkan dan menyebar maklumat tentang bahaya dadah dan pergaulan bebas kalangan anak muda," katanya.