Ahad, 30 Mei 2010

5,000 ahli akar umbi MIC hadir nyatakan sokongan


SEBAHAGIAN kaum India yang menyokong Samy Vellu berundur segera daripada jawatan Presiden MIC semasa menyertai perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) di Pusat Konvensyen The Mines, Seri Kembangan, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Mei - Laungan 'Musnahkan Samy' dan 'Keluar dari MIC' menjadi manifestasi penolakan ahli akar umbi parti itu terhadap Datuk Seri S. Samy Vellu sempena perhimpunan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIEC), di sini hari ini.

Kalimah itu dilaungkan lebih 5,000 ahli dan pemimpin akar umbi, orang perseorangan serta ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong GAS kerana, pemimpin nombor satu MIC itu didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab menyebabkan masyarakat India menolak parti berkenaan.

Pada masa yang sama, gerakan tersebut yang dicetuskan oleh bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan berlangsung dalam keadaan tenang tanpa sebarang kekecohan walaupun kumpulan penyokong Samy Velly sebelum ini mengancam untuk menggagalkan penganjuran GAS.

Meskipun gagal mencapai sasaran awal untuk mengumpul kira-kira 15,000 penyokong MIC, namun perhimpunan itu boleh dianggap berjaya kerana walaupun berlaku perubahan tempat pada saat-saat akhir, ia tetap mendapat sambutan menggalakkan.

Gerakan itu pada awalnya dirancang untuk diadakan di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) tetapi akhirnya lokasi tersebut terpaksa diubah ke MIEC disebabkan pelbagai tekanan yang diterima dipercayai daripada pucuk pimpinan MIC.

Perhimpunan GAS diadakan bagi mendesak Samy Vellu melepaskan jawatan yang dipegang beliau sejak 31 tahun lalu sebagai Presiden MIC untuk membolehkan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, melaksanakan transformasi pentadbiran dan sekali gus mengembalikan semula sokongan masyarakat India.

Dalam pada itu, perhimpunan GAS yang berlangsung lewat sejam daripada jadual asal iaitu kira-kira pukul 3 petang, dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku serta lagu parti sebelum disusuli dengan ucapan pembukaan oleh bekas Naib Presiden MIC, Datuk V. Govindaraj.

Hadir memberi sokongan kepada gerakan selain Govindaraj adalah veteran MIC, Oms. Thiagarajan, bekas Ketua Bahagian MIC Petaling Jaya Selatan, Barat Maniam serta dua bekas ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), K.P. Samy dan Kumar Aamaan.

Majlis yang pada awalnya berjalan tanpa sebarang gimik mahu pun provokasi mulai 'panas' apabila pakar motivasi, John Rajan berkata, beliau hanya ada tiga ayat untuk Samy Vellu iaitu "keluar, keluar, keluar (daripada MIC)" dan kalimah tersebut turut dilaung secara serentak oleh orang ramai yang hadir.

Kemudian, suasana majlis bertambah hangat apabila pelbagai 'kisah sulit' Samy Vellu sepanjang pentadbirannya didedahkan satu persatu sehingga semua penyokong yang hadir berteriak melaungkan "musnahkan Samy".

Tindakan itu mengakibatkan semua penyokong gerakan berkenaan bangun bagi memberi tepukan dan kemuncaknya, beberapa penyokong GAS yang hadir membaling kasut serta selipar ke arah gambar Samy Vellu yang diletakkan di sebelah pentas utama

Tiada ulasan: