Ahad, 23 Mei 2010

Adun Parit Raja diserang sakit jantung

JOHOR BAHRU 23 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Ab. Aziz Kaprawi dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini semalam selepas mengalami serangan jantung ringan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri kini ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd. Ali Hassan berkata, Ab. Aziz memberitahu badannya berasa sakit semasa mereka berdua sedang berjalan pada majlis lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Bazar Johor Bahru malam tadi.

"Beliau (Ab. Aziz) beritahu, badannya rasa tak sedap, tetapi saya tidak jangka perkara seperti ini akan berlaku.

"Saya berdoa agar beliau cepat sembuh dan saya akan datang melawatnya dalam tempoh terdekat ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pembantu Peribadi Ab. Aziz, Kamaluddin Suib berkata, ADUN Parit Raja itu dijadualkan menjalani pembedahan pintasan jantung hari ini.

Menurutnya, pembedahan selama lapan jam itu bermula pukul 2 petang hingga 10 malam.

"Beliau berada dalam keadaan sedar dan stabil sebelum menuju ke bilik pembedahan. Kesemua ahli keluarganya berada di hospital ketika ini," katanya ketika dihubungi.

Pada pilihan raya umum lalu, Ab. Aziz memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja setelah menewaskan calon Pas, Mustafha Abd. Rahman dengan majoriti 5,827 undi.

Tiada ulasan: