Isnin, 24 Mei 2010

ADUN Parit Raja stabil selepas jalani pembedahan

JOHOR BAHRU 24 Mei - Keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Ab. Aziz Kaprawi (gambar), 51, dilaporkan stabil hari ini selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam.

Pengarah HSA, Dr. Daud Abd. Rahim ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, keadaan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri itu semakin baik namun masih menerima rawatan rapi.

"Hingga tengah hari ini, keadaannya dilaporkan stabil tetapi masih menerima rawatan rapi," katanya.

Ab. Aziz dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung HSA di sini malam kelmarin selepas mengalami serangan sakit jantung ringan.

Beliau selamat menjalani pembedahan pintasan jantung selama lapan jam bermula pukul 2 petang semalam.

Serangan jantung itu dipercayai berlaku semasa beliau menghadiri tinjauan mesra Perdana Menteri Datuk, Seri Najib Tun Razak ke Bazar JB kelmarin.

Sementara itu, isteri Ab. Aziz, Sabariah Tokimin memberitahu, suaminya kini diletakkan di bawah pengawasan doktor bagi tempoh 48 hingga 72 jam lagi sebelum dipindahkan ke wad biasa.

"Pagi ini beliau sudah sedar dan boleh tersenyum. Itu sudah melegakan hati kami sekeluarga.

"Pada masa ini beliau amat memerlukan rehat yang secukupnya. Tiada pelawat dibenarkan masuk kecuali saya dan anak-anak," katanya ketika ditemui di HSA.

Sabariah berkata, suaminya pernah mengadu sakit dada tetapi mereka beranggapan Ab. Aziz hanya kepenatan dan kurang rehat.

Tiada ulasan: