Selasa, 18 Mei 2010

Anwar dipanggil ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen 8 Jun ini

KUALA LUMPUR 17 Mei – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil bagi membela diri di hadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen pada 8 Jun ini berhubung dakwaannya tentang isu Apco Worldwide dan Israel.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang juga ahli jawatankuasa itu selepas mesyuarat pertama bagi membincangkan perkara tersebut diadakan di Parlimen hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Karpal berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz akan turut dipanggil ke jawatankuasa itu pada hari berikutnya.

“Ya, beliau akan dipanggil pada 8 Jun ini semasa sesi Sidang Dewan Rakyat. Jawatankuasa akan bermesyuarat selepas sesi soal jawab,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat itu.

Bagaimanapun, Karpal berkata, beliau tidak pasti sama ada Anwar akan menghadiri mesyuarat tersebut.

“Saya cuma merasakan beliau wajar diberi peluang yang adil bagi membela diri. Beliau juga mungkin dibenarkan membawa saksi-saksinya namun itu bergantung kepada perbincangan dalam jawatankuasa,” katanya.

Menurut Karpal, sebarang cadangan dan pandangan yang dibuat oleh jawatankuasa berhubung perkara itu akan dirujuk semula kepada Dewan Rakyat bagi dibahaskan dan membolehkan keputusan dibuat.

Sementara itu, Pandikar Amin ketika ditanya mengenai perkembangan mesyuarat pertama itu enggan mengulas lanjut.

“Saya hanya akan bercakap ketika sidang Dewan Rakyat nanti,” katanya.

Pada 22 April lalu, Dewan Rakyat memutuskan melalui undian suara untuk merujuk Anwar kepada jawatankuasa tersebut kerana kenyataannya tentang syarikat perunding asing, Apco Worldwide yang mempunyai kaitan dengan 1Malaysia dan Israel.

Usul merujuk Anwar itu dibentangkan oleh Mohamed Nazri.

Tiada ulasan: