Jumaat, 28 Mei 2010

Anwar janji jawatan TPM untuk DAP

KUALA LUMPUR 28 Mei – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus memainkan gimik politik dalam usahanya untuk mendapat sokongan masyarakat Cina.

Terbaru, Anwar berjanji akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Janji Anwar itu jelas membuktikan beliau sanggup melakukan apa juga dengan hasrat untuk mempengaruhi pengundi-pengundi Cina yang ditafsirkan oleh pembangkang semakin menyebelahi mereka.

Matlamat Anwar ialah untuk memastikan momentum sokongan kaum Cina kepada pembangkang, sekali gus membolehkan beliau mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

Dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang disiarkan pada 26 Mei lalu, Anwar mendakwa pakatan pembangkang tidak mempunyai perasaan curiga jika ada di kalangan orang Cina layak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sambil memberitahu bahawa pakatan pembangkang sudah mewujudkan Kabinet bayangan, Anwar berkata, beliau telah dipilih menjadi calon Perdana Menteri.

Pada masa yang sama, katanya, pakatan itu bersetuju menambah jawatan Timbalan Perdana Menteri namun ia belum diputuskan lagi.

‘‘Jika ada yang lebih layak daripada dua orang atau pun ada keperluan dalam politik, saya anggap tidak salah jawatan Timbalan Perdana Menteri itu ada dua orang, sebaliknya ia lebih baik,’’ katanya.

Anwar juga percaya, jika keadaan memerlukan Pas akan menerima jika calon Timbalan Perdana Menteri II daripada kalangan DAP kerana kesemua anggota pakatan mempunyai hasrat yang sama iaitu menyingkirkan Barisan Nasional (BN) dan memerintah kerajaan pusat.

Dalam wawancara itu, Anwar mendakwa, walaupun konsep pemerintahan Pas berbeza dengan DAP, tetapi pada pilihan raya umum lalu, pakatan pembangkang telah banyak membuat perubahan.

Tiada ulasan: