Jumaat, 7 Mei 2010

Bahaya menanti di jambatan sementara


BATANG KALI – Jambatan sementara yang disediakan penduduk bagi menghubungkan laluan ke sebuah tabika di Fasa 3, Bandar Utama Batang Kali di sini amat berisiko dan mengundang bahaya terutama kanak-kanak yang melaluinya setiap hari.

Dengan hanya meletakkan empat batang cerucuk konkrit yang diperoleh dari sisa binaan, jambatan ini tidak selamat untuk dilalui.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati kanak-kanak yang melaluinya dengan berlari tanpa dipimpin oleh ibu bapa amat merbahaya dan boleh mengundang padah pada bila-bila masa.

Malah, di setiap cerucuk konkrit itu terdapat besi yang tertanam pada bahagian hujung dan pangkalnya dan amat merbahaya sekiranya kanak-kanak yang melaluinya tersadung.

Jika itu berlaku, sudah tentu kanak-kanak malang itu akan terjatuh ke dalam longkang sedalam satu setengah meter.

Seorang penduduk, Umar Mokhtar, 33, berkata, dia amat bimbang dengan keselamatan kanak-kanak yang melalui jambatan itu kerana dikhuatiri akan terjatuh.

Menurutnya, tiada siapa mampu menjamin keselamatan kanak-kanak yang melalui jambatan itu kerana strukturnya yang tidak kukuh dan kecil serta tidak dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan.

“Sebenarnya laluan ini sengaja dibina penduduk bagi memudahkan mereka melintasi longkang selebar tiga meter untuk ke laluan bersebelahan.

“Kerana jika tidak mereka terpaksa berjalan jauh dan perlu mengelilingi taman semata-mata untuk ke tabika ini atau ke masjid berdekatan,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

:Umar berkata, walaupun tindakan penduduk itu dilihat memberi kemudahan kepada pejalan kaki, tetapi keadaannya salah dan mengundang risiko terhadap keselamatan kanak-kanak.

:Menurutnya, jambatan itu bukan hanya digunakan oleh ibu bapa yang menghantar anak ke tabika tetapi turut dilalui pelajar sekolah dan kebanyakan penduduk yang ingin ke masjid berdekatan.

Justeru, Umar mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) memandang serius perkara itu dan melakukan sesuatu untuk kebaikan penduduk.

Sementara itu, Halimah Saidun @ Syed, 48, berkata, penduduk tidak ada cara lain selain melalui jambatan yang dibina dua tahun lalu itu untuk ke sebelah.

Menurutnya, sebelum adanya besi cerucuk konkrit itu, penduduk hanya melalui batang paip air yang terdapat di situ yang lebih berisiko jika terjatuh.

Katanya, penduduk pernah mencadangkan supaya dibina jambatan kekal yang lebih selamat tetapi sehingga kini masih tidak dapat dilaksanakan berikutan tiada pihak yang mengambil serius mengenai perkara itu

Tiada ulasan: