Jumaat, 28 Mei 2010

CWC MIC tampil sekarang atau ditolak perwakilan - Mugilan

PETALING JAYA 28 Mei - Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC perlu tampil menyatakan sokongan terhadap Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) sekarang jika tidak mahu ditolak perwakilan dalam pemilihan parti pada 2012.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan berkata, kesemua anggota CWC bakal berhadapan dengan hukuman perwakilan MIC jika terus mendiamkan diri dalam menentukan arah tuju parti di bawah Datuk Seri S. Samy Vellu.

"Anggota-anggota CWC boleh melakukan pembaharuan jika mereka benar-benar mengambil berat situasi MIC kini.

"Kita tidak perlu mengadakan perhimpunan GAS lagi jika mereka bersedia untuk tampil dan melakukan pembaharuan (dalam tempoh 24 jam akan datang)," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mugilan menyatakan keyakinan bahawa beberapa orang lagi anggota CWC akan tampil menyatakan sokongan terhadap GAS malam ini dan esok.

"Saya yakin mereka yang berjiwa rakyat dan mahu hayat MIC kekal serta terus maju akan tampil dalam mendesak Samy Vellu melepaskan jawatan Presiden parti.

"Masyarakat India tidak akan memaafkan mereka yang terus berdiam diri. Semua anggota CWC dan naib-naib presiden MIC perlu turut serta dalam menentukan masa depan kaum India, parti dan negara ini," katanya.

Berhubung teguran Setiausaha Agung MIC, S. Murugessan terhadap tindakan Samy Vellu memecat ahli parti, Mugilan menyatakan kritikan Murugessan itu merupakan pendapat peribadi seseorang yang bekerja rapat dengan Presiden dan lebih mengenali parti.

"Tindakan berani Murugessan menegur Samy Vellu secara terbuka memberi manfaat kepada kami tetapi bukannya atas desakan daripada saya atau mana-mana individu lain.

"Kami sememangnya berkawan baik dan sehaluan sejak menyertai parti pada tahun 2000 lagi tetapi lama tidak berhubung selepas beliau dilantik sebagai Setiausaha Agung sementara saya di Pemuda MIC," jelasnya.

Tiada ulasan: