Ahad, 23 Mei 2010

DAP tidak konsisten dalam tindakan rasuah

TANJONG KARANG 23 Mei - DAP sengaja mengamalkan standard yang berbeza dalam tindakan mereka apabila parti itu mengambil sikap berdiam diri terhadap tuduhan rasuah yang membabitkan syarikat yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran dan perniagaan pasir milik Selangor, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Timbalan Ketua Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mempersoalkan mengapa DAP mengambil sikap berdiam diri terhadap tuduhan rasuah apabila ia melibatkan syarikat berkaitan kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang.

Katanya, sebaliknya ia akan terus mencetuskan isu apabila tuduhan rasuah membabitkan pentadbiran Barisan Nasional (BN).

"Apa dah jadi kepada perjuangan memerangi rasuah yang diketengahkan DAP, ia jelas menunjukkan DAP mengamalkan double standard," katanya selepas merasmikan mesyuarat cawangan UMNO Parit 2 di sini hari ini.

Noh berkata demikian sebagai merujuk tuduhan yang dibuat oleh Anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam bahawa terdapat aktiviti rasuah yang melibatkan pegawai kanan KSSB.

Menteri Besar, Abdul Khalid Tan Sri Ibrahim sebelum ini berkata, isu tuduhan rasuah dalam KSSB itu akan dirujuk kepada Jawatan Kuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, beliau berpendapat, tuduhan rasuah itu seharusnya disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukannya Selcat.

Katanya, pembangkang termasuk DAP kini kehilangan arah dan tidak lagi relevan dalam perjuangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

"Pihak pembangkang terutama DAP beberapa kali sebelum ini menuntut supaya dibentuk satu suruhanjaya khas bagi menyiasat sebarang tuduhan penyelewengan dalam kerajaan, namun mereka memilih untuk berdiam diri apabila tuduhan itu dilontarkan terhadap mereka pula," katanya. - BERNAMA

Tiada ulasan: