Isnin, 3 Mei 2010

DUN Pulau Pinang kecoh



GEORGETOWN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shahbudin Yahya mencabar ADUN Seri Delima, RSN Rayer supaya membawa isu UMNO memberi rasuah kepada dua bekas orang kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Mohamad Fairuz Khairuddin di luar Dewan.

Menurutnya, dakwaan Rayer itu dianggap tuduhan liar dan tidak bertanggungjawab serta bertentangan dengan pentadbiran Kerajaan Negeri yang dikatakan mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

“Ini adalah satu tuduhan yang liar yang dilemparkan oleh beliau (Rayer) dan apabila saya memintanya membawa hal ini ke luar Dewan, beliau enggan dan ini menunjukkannya seorang pengecut. Ini terbukti ia hanya tuduhan liar. Kalau beliau betul, kenapa perlu takut.

“Kenyataan yang menyatakan UMNO memberi RM100,000 kepada Fairus adalah tuduhan yang melampau dan akan menimbulkan keresahan dan tanda tanya kepada rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas tamat persidangan pada hari pertama semalam.

Menurutnya, Rayer sering mengutarakan isu yang tidak kena mengena dengan soalan atau isu yang sedang dibincangkan dalam Dewan.

“Kita juga ada merayu kepada Speaker, Datuk Abdul Halim Hussain supaya mengarahkan Rayer menarik balik kenyataannya itu, namun gagal. Itu semua di bawah kuasa Speaker, kita hanya minta,” katanya.

Menurutnya, Abdul Halim tidak mengambil apa-apa tindakan terhadap Rayer dan menyerahkannya kepada budi bicara Abdul Halim sebagai Speaker.

Ketika sidang DUN sebelum itu, Shahbudin bertikam lidah dengan Rayer yang mendakwa UMNO memberi rasuah kepada Mohamad Fairus setelah keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Shahbudin menafikan tuduhan ADUN Seri Delima itu bahawa Mohamad Fairus melompat parti kerana menerima rasuah daripada UMNO.

“Rayer tidak sepatutnya menyebut atau mengungkitkan nama orang tidak berada di dalam Dewan. Ini bukan satu perbahasaan yang matang.

“Mengaitkan individu di luar Dewan adalah satu tindakan melanggar peraturan Dewan,” katanya ketika bangun membantah tuduhan Rayer ketika sesi soal jawab, semalam.

Rayer mendakwa Fairus menerima RM100,000 selepas menyertai UMNO untuk membayar balik pinjaman kereta Mercedes Benz daripada Kerajaan Negeri.

Beliau membangkitkan perkara itu ketika mengemukakan soalan tambahan selepas Timbalan Ketua Menteri 2, P Ramasamy menjawab soalan asal ADUN Sungai Pinang, Koid Teng Guan yang mempersoalkan isu tender Kelab Golf Bukit Jambul diberikan kepada Taiyo Resort Bhd, yang didakwanya kini dalam keadaan yang kurang stabil dari segi kewangan serta mencatat liabiliti.

Tidak puas hati dengan tuduhan Rayer, Shabudin yang dibantu ADUN Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah bangun meminta Rayer menarik balik perkataan ‘UMNO rasuah’ ,

Shahbudin juga meminta Rayer mengemukakan bukti atas tuduhan itu atau membuat aduan kepada polis.

“Kalau ADUN Seri Delima tidak berani menunjukkan bukti bahawa UMNO memberi rasuah kepada Fairus atau mengulanginya di luar dewan, bermakna Rayer seorang pondan dan penakut,” katanya.

Speaker, Datuk Abdul Halim Hussain cuba meredakan ketegangan itu dengan meminta Ramasamy meneruskan jawapannya.

Tiada ulasan: