Selasa, 18 Mei 2010

Empat ADUN akan umum pendirian

ALOR SETAR 17 Mei - Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pakatan pembangkang yang dikatakan bakal melompat parti, akan mengumumkan pendirian mereka berhubung isu itu di Kompleks Pas Kota Sarang Semut dekat sini Sabtu ini.

ADUN Sidam, Tan Chow Kang berkata, beliau dan tiga lagi ADUN terlibat akan memberikan ceramah khas untuk memberikan gambaran sebenar tentang apa yang berlaku.

"Saya tidak mahu komen banyak kerana sudah banyak kenyataan yang diberikan dan jika disalahtafsir ia boleh memberi kesan negatif kepada kami," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas khabar angin yang mengatakan Dewan Undangan Negeri Kedah bakal dibubarkan kerana empat ADUN pakatan pembangkang akan keluar parti dalam tempoh terdekat.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menafikan perkara tersebut dan berjanji akan memaklumkan kepada pihak media jika beliau mahu membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

Azizan juga menyatakan khabar angin itu adalah permainan politik pihak-pihak tertentu yang tidak senang hati dengan keadaan aman di Kedah.

Menurut Chow Kang, beliau akan memberikan penjelasan berhubung khabar angin tersebut dan berharap tiada lagi fitnah seperti itu akan melanda dirinya.

"Saya sudah penat mahu menjawab apabila ditanya soalan begini dan saya harap selepas memberikan penjelasan di Kota Sarang Semut semua pihak akan faham," katanya.

Tiada ulasan: