Selasa, 25 Mei 2010

Exco kecewa Kelantan juara tidak bermoral

KOTA BHARU 25 Mei - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan negeri, Wan Ubaidah Omar dukacita kerana Kelantan menjadi 'juara' dalam pelbagai perkara yang tidak bermoral.

Beliau menyifatkan gejala itu memperlihatkan gambaran masyarakat negeri ini masih jahil dan jauh daripada kehidupan beragama di sebalik status negeri yang mengeluarkan ramai ulama.

"Sungguh mendukacitakan dalam negeri ini yang merupakan tempat lahirnya ramai ulama dan tempat berkembangnya institusi pondok, kita juga menjadi juara dalam pelbagai perkara tidak bermoral.

"Apa yang masyhur semuanya di sini. Yang tinggi (jumlah penghidap) HIV nombor satu pun di sini, yang ulama pun di sini, pelik sungguh," katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap merasmikan majlis Taklimat Kesedaran Keganasan Rumah Tangga dan HIV/AIDS di Dewan Besar, Balai Islam Lundang di sini hari ini.

Lebih 300 imam, penggiat masyarakat, pendakwah halaqat dan wakil pertubuhan bukan kerajaan hadir dalam sesi taklimat yang disampaikan wakil dari Universiti Sains Malaysia, Jabatan Kesihatan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Polis Diraja Malaysia.

Wan Ubaidah berkata, antara perkara yang dikesalkan adalah rekod Kelantan sebagai negeri nombor satu yang paling ramai mencatat jangkitan HIV/AIDS pada 2008.

Katanya, pada tahun itu, 47 peratus daripada 72,041 kes jangkitan di seluruh negara adalah kes dari negeri ini dan ia juga merupakan peningkatan lebih empat peratus daripada tahun sebelumnya.

Jelasnya, peningkatan kes itu bukan sahaja akibat daripada pengambilan najis dadah tetapi hubungan seksual yang berlaku dengan pasangan yang menagih sama ada menerusi ikatan perkahwinan atau tidak.

Sehubungan itu, katanya, institusi masjid perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan para penggeraknya perlu memainkan peranan mengekang kegiatan tidak bermoral yang berlaku dengan berleluasa dalam masyarakat.

"Masjid perlu kita jadikan satu institusi untuk membaiki keadaan, kalau tidak ia akan menjadi serupa dengan gereja yang hanya penuh pada Ahad sebagaimana masjid dilimpahi hanya pada Jumaat," katanya.

Katanya, para imam perlulah melaksanakan apa sahaja aktiviti terutamanya dalam membendung apa sahaja kegiatan tidak bermoral yang begitu berleluasa dalam masyarakat kita.

"Masalah kebejatan sosial yang berlaku sekarang bukanlah kerana kesilapan lelaki atau wanita tetapi ia masalah bersama.

"Kita janganlah mengajar tentang hukum fiqah dan solat semata-mata, tetapi kalau boleh peluang itu digunakan untuk menerangkan dan menyebar maklumat tentang bahaya dadah dan pergaulan bebas kalangan anak muda," katanya.

Tiada ulasan: