Jumaat, 28 Mei 2010

Ezam anggap tindak-tanduk Anwar macam Thaksin

KUALA LUMPUR 28 Mei - Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd. Noor (gambar) menyifatkan pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sama seperti bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang sanggup berbuat apa sahaja asalkan kepentingan politiknya tercapai.

Sehubungan itu, katanya, tidak mustahil sekiranya terdapat dakwaan bahawa PKR mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berkonsepkan republik dan menolak sistem Raja Berperlembagaan sedia ada.

"Saya percaya bahawa Anwar dan PKR telah pun merencanakan strategi bagi meruntuhkan serta merosakkan institusi asas negara seperti institusi diraja dan menggantikannya dengan konsep republik.

"Mereka pastinya akan menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk kepentingan mereka," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, bekas Ketua PKR Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda mendedahkan mengenai wujudnya gerakan tersusun untuk mengubah struktur organisasi parti itu supaya menyerupai acuan politik di Indonesia yang berasaskan kepada konsep republik.

Katanya, perkara itu terbukti apabila nama-nama jawatan dalam parti itu ditukar supaya sama dengan apa yang diguna pakai oleh parti-parti politik di Indonesia.

Tambah beliau, paling menyedihkan, terdapat di kalangan pemimpin PKR di peringkat negeri adalah dari Indonesia yang langsung tidak tahu adat kesopanan dan budaya negara ini sehingga menimbulkan masalah di dalam parti.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim memberitahu, beliau tidak terkejut sekiranya PKR mahu menjadikan Malaysia sebuah negara republik kerana telah pun menjangka perkara tersebut sebelum ini.

Katanya, 'parti caca-marba' seperti PKR akan membuat apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka.

"Selain itu, parti ini juga banyak tunduk kepada kemahuan DAP demi menjaga hati mereka," katanya.

Tiada ulasan: