Ahad, 30 Mei 2010

GAS lancar formula baru bagi mendesak Samy Vellu berundur


V. Mugilan (tengah) diapit K.P Samy (kanan) dan Kumar Aamaan melaungkan desakan supaya Samy Vellu meletak jawatan sebagai Presiden MIC semasa menyertai perhimpunan (GAS) semalam.


KUALA LUMPUR 30 Mei - Penyelaras Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS), V. Mugilan akan terus melaksanakan formula baru bagi memastikan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu segera berundur daripada jawatannya itu.

Mugilan berkata, beliau akan berusaha untuk mendapatkan 500,000 tandatangan daripada ahli-ahli MIC di seluruh negara sebagai tanda persetujuan menggesa Samy Vellu meletak jawatan.

''Saya akan memulakan gerakan itu dalam tujuh hari lagi. Dalam tempoh tersebut Presiden MIC (Samy Vellu) boleh membuat keputusan sama ada untuk terus menerajui parti itu atau meletak jawatan.

''Jika beliau tetap tidak mahu berundur saya akan mendapatkan 500,000 tandatangan itu secepat mungkin dan memberikannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengambil tindakan selanjutnya,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis GAS di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia, The Mines Resorts (MIECC) di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, kira-kira 5,000 penyokong GAS hadir bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap Samy Vellu dan menggesa Presiden MIC itu meletak jawatan segera.

Daripada jumlah kehadiran itu, kira-kira 90 peratus adalah ahli MIC dan kira-kira 300 adalah ketua bahagian dan cawangan parti itu.

Tambah Mugilan, pemimpin-pemimpin negara ini harus membuat satu keputusan yang baik demi masa depan kaum India di negara ini.

''Adakah pemimpin negara ini mahukan Samy Vellu atau masyarakat India di negara ini? Jika pemimpin negara mementingkan kesejahteraan kaum India, mereka harus memastikan Samy Vellu berundur dari jawatan itu.

''Jika beliau terus memegang jawatan Presiden itu sehingga 2011, beliau akan menjadikan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) sebagai universiti keluarganya,'' kata beliau.

Dalam pada itu katanya, beliau mengharapkan 20,000 masyarakat India dari seluruh negara bagi menghadiri perhimpunan itu tetapi beliau difahamkan terdapat insiden sabotaj yang dilakukan oleh beberapa individu bagi menghalang penyokong GAS menghadirinya.

''Bas-bas dari Johor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang telah pun dihalang untuk hadir ke perhimpunan ini. Kami juga difahamkan kira-kira RM5 juta telah dibelanjakan untuk menghalang penyokong-penyokong GAS hadir ke perhimpunan ini.

"Pihak-pihak tertentu telah memberikan RM5,000 kepada sebuah bas. Salah seorang pemimpin kami dari negeri utara juga tidak dapat dihubungi dari pagi tadi bagi mendapatkan perkembangan dari negeri-negeri di utara,'' katanya.

Mugilan juga mendedahkan bahawa Samy Vellu sedang menstrukturkan parti itu bagi membolehkan anaknya, S. Vell Paari menggantikan tempat beliau.

Tambahnya, beliau hanya melakukan 'kempen' GAS itu selama 10 hari dan mampu mengumpul kira-kira 5,000 penyokong.

Dalam pada itu, Mugilan juga membuat sumpah di atas buku suci Tamil yang bernama Tirukural dengan menyatakan bahawa tidak ada pihak ketiga dalam anjuran GAS ini.

"Saya bersumpah di atas buku suci ini. Tidak ada dalang dalam penubuhan GAS dan tidak ada pihak ketiga yang menggesa saya bertindak seperti ini,'' jelasnya.

Sementara itu, suasana perhimpunan pada petang ini agak tenang dan ia berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku, meskipun khabar angin mengatakan ada sekumpulan samseng diupah untuk membuat kecoh di situ.

Tiada kehadiran polis berpakaian seragam dilihat membuat kawalan, sebaliknya terdapat kelibat sekumpulan anggota polis preman yang berada di sekeliling bangunan MIECC untuk memantau keadaan

Tiada ulasan: