Rabu, 5 Mei 2010

Hassan perlu jelas ubah suai pejabat RM350,000

SHAH ALAM 5 Mei - UMNO Selangor hari ini meminta Exco, Datuk Dr. Hassan Ali membuat penjelasan berhubung dakwaan beliau menggunakan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM350,000 untuk mengubah suai pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri itu perlu berbuat demikian bagi membuktikan beliau tidak menggunakan wang rakyat sebanyak itu untuk tujuan tersebut.

Ini kerana katanya, jumlah itu didapati terlalu besar dan tidak memadai hanya untuk kerja-kerja pengubahsuaian pejabat yang nilainya hampir sama dengan harga sebuah rumah.

''Sebab itu kita minta Hassan memberikan penjelasan mengenai perkara ini sekiranya benar beliau menggunakan wang rakyat untuk tujuan itu.

''Sekiranya benar, jumlah RM350,000 itu adalah satu bentuk pembaziran yang sepatutnya dielakkan. Jumlah itu mungkin boleh digunakan untuk tujuan lain lebih-lebih lagi kepada rakyat di negeri ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan sebuah blog (www.mykmu.net) yang mengaitkan Hassan dengan penggunaan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM350,000 untuk kerja-kerja mengubah suai pejabat Exco itu di bangunan SUK.

Menurut laman blog berkenaan, surat tawaran kepada sebuah syarikat kontraktor yang turut berkait rapat dengan Pas untuk kerja-kerja itu telah dikeluarkan pada minggu lalu.

Malah, syarikat kontraktor berkenaan dikatakan telah mengambil insurans bernilai RM100,000 bagi perlindungan kerja dan RM27,000 bagi perlindungan kemalangan di tempat kerja.

Menurut Abdul Shukor, sekiranya benar dakwaan tersebut, tindakan itu dilihat tidak selaras dengan janji kerajaan negeri pakatan pembangkang yang sering melaung-laungkan slogan 'Merakyatkan Ekonomi Selangor'.

''Kita kesal sekiranya keadaan ini berlaku kerana kerajaan negeri kononnya mahu menjaga kebajikan dan meningkatkan ekonomi rakyat, tetapi ada pemimpinnya sendiri yang bermewah-mewah," ujarnya.

Tiada ulasan: