Khamis, 13 Mei 2010

Hukum pembangkang - Hishammuddin

SIBU 13 Mei - Penduduk Sibu perlu menghukum parti pembangkang yang cuba menimbulkan suasana tidak tenteram apabila meneruskan hasrat menggunakan isu kalimah Allah sebagai bahan kempen pilihan raya mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, mereka menggunakan isu itu dan juga isu-isu lain seperti serangan peribadi ke atas pemimpin negara hanya kerana mahu memenangi pilihan raya.

"Sehubungan itu, adalah lebih baik jika rakyat sendiri menghukum mereka kerana mereka melakukannya hanya untuk mendapat sokongan politik," katanya mengulas tindakan pembangkang yang terus menggunakan isu kalimah Allah dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Beliau yang ditemui ketika mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat Rumah Panjang Sebastian Onggoh di Jalan Teku, Pasai, dekat sini, hari ini berkata, kerajaan sebenarnya boleh mengambil tindakan ke atas pembangkang.

"Ini kerana mereka tidak berkecuali daripada undang-undang sedia ada di bawah perkara menghasut atau memecahbelahkan masyarakat.

"Tetapi adalah lebih baik jika rakyat sendiri yang menghukum mereka," katanya.

Hishammuddin berkata, bagaimanapun, sejak akhir-akhir ini, pakatan pembangkang kurang menggunakan isu itu selepas mendapati ia menimbulkan kemarahan orang ramai.

Beliau justeru mengingatkan pembangkang agar tidak mempermain-mainkan perasaan rakyat di negeri ini kerana sesuatu semangat kebencian yang disuntik dan diulang-ulang boleh juga mempengaruhi orang ramai.

Hishammuddin sendiri mengakui turut menjadi mangsa tohmahan pembangkang apabila dilontarkan fitnah termasuk isu warganegara dan pendaftaran sijil kelahiran.

Beliau yang turut mendengar taklimat daripada Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh di Markas Taktikal (Martek) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, berpuas hati dengan persiapan polis menghadapi pilihan raya itu.

Katanya, polis negeri begitu peka dengan perkara-perkara yang boleh menjejaskan perpaduan dan isu-isu yang boleh memecahbelahkan masyarakat dalam mengharungi pilihan raya kecil.

"Jangan disebabkan terlalu ghairah berpolitik, apa yang telah kita bina selama ini musnah ekoran isu-isu perkauman, keagamaan dan sensitif," katanya.

Tiada ulasan: