Khamis, 13 Mei 2010

Jangan guna isu agama raih undi - Shafie

SIBU 13 Mei - Jangan guna isu agama untuk meraih undi, itulah yang ditegaskan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal kepada parti pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Beliau berkata, isu agama akan menimbulkan perpecahan dan menjejaskan perpaduan antara kaum terutamanya di Sarawak yang selama ini hidup harmoni.

''Jangan gunakan agama kerana ia boleh memecahbelahkan rakyat. Tumpukan perpaduan yang menjadi tulang belakang kepada pembentukan negara ini," katanya ketika berucap pada Pelancaran Operasi Kempen Tanam Semula Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Fadillah Yusof, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Mohammad Izat Hassan dan Pengarah RISDA Negeri Sarawak, Sopian Abu Bakar.

Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, pembangkang kini menggunakan taktik kotor termasuk menjadikan rumah-rumah ibadat untuk berkempen memburukkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

''Sampaikan saya dengar gereja digunakan oleh pembangkang untuk berkempen, ia tidak baik," katanya.

Pada majlis itu, Mohd. Shafie mengumumkan peruntukan sebanyak RM6.5 juta untuk Program Tanam Semula RISDA di Sarawak untuk tahun ini.

Kadar bantuan tanam semula itu sebanyak RM10,000 sehektar yang lebih tinggi berbanding RM7,000 di Semenanjung.

Tiada ulasan: