Khamis, 20 Mei 2010

Jangan kaitkan BN – Shafie


Shafie Apdal menyerahkan replika kunci kepada salah seorang penduduk di majlis Penyerahan kunci Projek Perumahan Rakyat Wilayah Kejora dan Perasmian Projek Ekopelancongan Kampung Johor Lama, Kota Tinggi, Johor, semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI


JOHOR BAHRU 20 Mei – Barisan Nasional (BN) tidak terlibat dalam sebarang usaha sehingga membawa kepada desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi membolehkan pilihan raya negeri itu dijalankan.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, BN mempunyai banyak agenda lain yang perlu dilaksanakan untuk membantu rakyat.

‘‘Banyak lagi kerja yang perlu kita tumpukan terutama sekali untuk membela nasib rakyat Kedah.

‘‘Namun sekiranya perkara itu berlaku, BN bersedia dan tidak ada apa yang hendak dirisaukan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Bersama Exco-exco Luar Bandar (MEXCLUB) di Pulai Desaru Beach Resort, Desaru di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah diminta mengulas mengenai desas-desus pembubaran DUN Kedah ekoran dakwaan terdapatnya wakil rakyat pembangkang yang akan keluar parti dengan menjadi wakil rakyat Bebas dan menyokong BN.

Shafie meminta, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak supaya tidak mengaitkan BN dengan ‘tangan-tangan tersembunyi’ yang cuba untuk menjatuhkan kerajaan negeri itu seperti yang dilaporkan sebuah akhbar hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kementeriannya akan terus memberi fokus meningkatkan lagi pembangunan kawasan luar bandar di seluruh negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bagi mencapai sasaran Bidang Keberhasilan Negara (NKRA).

Justeru itu, beliau akan memastikan semua wakil rakyat dengan bantuan Exco Luar Bandar di setiap negeri mengenal pasti keperluan dan kehendak masyarakat luar bandar di kawasan masing-masing.

Mohd. Shafie turut mengadakan lawatan kerja ke Kampung Johor Lama, Kota Tinggi dan menyerahkan kunci Projek Perumahan Rakyat Wilayah Kejora kepada 30 keluarga di kawasan DUN Johor Lama

Tiada ulasan: