Ahad, 23 Mei 2010

Jangan sertai Gerakan Anti-Samy Vellu

KUALA LUMPUR 23 Mei - Ketua Pemuda MIC, T. Mohan memberi amaran kepada pemimpin sayap itu di peringkat negeri supaya tidak menyertai Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang ditubuhkan bekas timbalannya, V. Mugilan.

Mohan menegaskan, pihaknya tidak teragak- agak mengambil tindakan tegas sekiranya ada di kalangan mereka menyokong gerakan tersebut.

Katanya, gerakan seumpama itu tidak perlu memandangkan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu telah menyatakan kesediaannya untuk melepaskan jawatan itu nanti.

''Justeru, satu mesyuarat bersama barisan Pemuda MIC negeri akan diadakan Rabu ini bagi mendapatkan maklum balas mengenai GAS. Saya ingin mengingatkan semua agar bersabar. Detik Mei 2012 bukannya lama sangat. Kita akan melihat perubahan juga nanti.

''Kepada Mugilan, hormatilah orang tua (Samy Vellu). Ilmu dia belum cukup untuk melawan presiden,'' katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis mesra rakyat di Kuil Sri Maha Mariamman, Puchong dekat sini hari ini.

Hadir sama Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk K. K. Eswaran.

Mohan mengulas tindakan Mugilan yang bertindak menubuhkan GAS, mendesak presiden parti itu mengundur diri.

Menurut Mugilan, gerakan tersebut yang akan dilancarkan 30 Mei ini dijangka dihadiri kira-kira 7,000 orang yang mempunyai hasrat yang sama iaitu mendesak Samy Vellu berbuat demikian.

Mengulas lanjut, Mohan berkata, selain mesyuarat dengan pemimpin Pemuda MIC negeri, pihaknya juga akan 'turun padang' menerangkan kepada ahli tentang pelbagai isu semasa mengenai parti termasuk GAS.

Mengenai keputusan parti memecat Mugilan katanya, ia adalah satu tindakan yang tepat.

''Kita sudah lama tahu yang dia (Mugilan) mahu keluar parti. Dia bukannya ada apa-apa, sengaja hendak cari publisiti dan mahu jadi hero. Dia bukannya menjaga kawasannya dengan baik, 'main wayang' sahaja.

''Pemuda MIC sangat berpuas hati dengan tindakan yang diambil terhadapnya,'' ujar Mohan.

Ditanya tentang pengganti Mugilan beliau menjelaskan, buat masa terdekat ini perkara tersebut masih belum dibincangkan.

''Cuma, kita akan melantik seseorang untuk menjadi koordinator bagi menjalankan tugas timbalan. Tetapi, bagi saya, tidak ada jawatan timbalan lagi senang. Tidak menjadi hal (masalah) buat saya. Perkara ini akan saya bincangkan bersama presiden nanti,'' tambahnya.

Sementara itu, Eswaran ketika ditemui berkata, sebagai seorang ahli perniagaan, pihaknya menasihatkan MIC yang menjadi tunjang kepada kaum India supaya menyelesaikan segala kemelut dengan berhemah.

''Isu yang melanda boleh dianggap seperti isu keluarga. Selesaikan secara baik. Jangan jadikan parti ini bertambah teruk,'' katanya.

Tiada ulasan: