Ahad, 23 Mei 2010

Jangan tumpu pada kedudukan Kabinet - Soi Lek

IPOH 23 Mei - Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek meminta ahli-ahli parti itu supaya tidak memberi tumpuan terhadap kedudukan pemimpin MCA dalam Kabinet, sebaliknya komited dan bekerja kuat memastikan kestabilan parti.

Katanya, perkara itu lebih mustahak untuk keutuhan parti dan beliau sendiri belum diminta oleh Perdana Menteri untuk mengemukakan cadangan nama-nama pemimpin parti itu bagi dilantik sebagai anggota Kabinet.

"Yang penting sekarang MCA perlu komited dan bekerja kuat memastikan kestabilan parti dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh ahli," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan enam bahagian MCA di sini hari ini.

Soi Lek berkata demikian sebagai mengulas desas-desus mengatakan Perdana Menteri akan mengadakan rombakan Kabinet tidak lama lagi.

Ditanya mengenai dakwaan Wanita MCA tidak mendapat layanan yang adil dalam parti itu, Soi Lek berkata, perkara itu adalah tidak benar, malah kedudukan Wanita MCA dalam kerajaan adalah lebih baik jika dibandingkan dengan sayap Pemuda.

"Wanita mempunyai seorang menteri dan seorang timbalan menteri, manakala Pemuda hanya ada seorang timbalan menteri sahaja.

"Tuduhan mengatakan sayap Wanita tidak diberi tempat adalah satu tuduhan yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, Soi Lek berkata, beliau sendiri tidak bercadang untuk mencalonkan dirinya sebagai Ahli Dewan Negara.

"Saya secara terbuka tidak akan mencalonkan diri saya kepada Perdana Menteri untuk dilantik sebagai senator dan menteri, tidak ada.

"Saya menumpukan perhatian untuk memastikan perpaduan ahli MCA dan menyelesaikan masalah dalaman dan segala isu yang dihadapi oleh parti," katanya.

Tiada ulasan: