Isnin, 24 Mei 2010

Keadaan ADUN Kerdau semakin baik - MB

KUANTAN 24 Mei - Keadaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerdau, Datuk Zaharuddin Abu Kassim (gambar) yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) semakin baik dan berada dalam keadaan stabil.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) itu bagaimanapun masih belum boleh bercakap tetapi mampu memberi tindak balas melalui mata.

"Mengenai ADUN Kerdau ini, beginilah, kalau Menteri Besar diam sahaja, maknanya dia okeylah, itu sahaja.

"Bila sebut koma, koma ini ada dua. Pertama sebab dia sakit dia koma dan yang kedua dia dikomakan bagi membolehkan lain-lain organ berehat dan ADUN Kerdau kini berada dalam posisi kedua," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis taklimat Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di kediaman rasminya di Jalan Teluk Sisek di sini.

Adnan mengulas perkembangan terkini Zaharuddin yang kini masih rawat di IJN selepas mengalami komplikasi jantung.

Zaharuddin, 63, sebelum ini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) Temerloh kerana penyakit ulser dan telah menjalani pembedahan.

Bagaimanapun doktor yang merawatnya turut mengesan beliau mengalami komplikasi jantung sebelum memindahkannya ke IJN pada 9 Mei lalu.

Tiada ulasan: