Selasa, 18 Mei 2010

Kemerosotan undi Cina: Jangan salahkan MCA

PULAU PINANG 17 Mei – Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bertanggungjawab terhadap kemerosotan undi kaum Cina kepada parti itu pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu semalam dan bukannya meletakkannya di bahu MCA semata-mata.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, situasi yang berlaku pada pilihan raya itu turut mencerminkan senario politik negara sekarang.

‘‘Kami amat kecewa dengan kekalahan itu, namun rakyat di kawasan itu berhak membuat pilihan dan itulah yang telah mereka lakukan. Kami menghormati pilihan yang telah mereka buat,” katanya.

Beliau diminta mengulas kecenderungan pengundi Cina terhadap pakatan pembangkang pada pilihan raya tersebut.

Semalam, DAP memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu apabila calonnya, Wong Ho Leng menewaskan calon BN, Robert Lau Hui Yew dan seorang calon Bebas dengan majoriti kecil 398 undi.

Ho Leng memperoleh 18,845 undi berbanding Hui Yew, 18,447 undi, manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi dan hilang wang pertaruhan. Undi rosak pula adalah 395.

Yen Yen berkata, MCA akan melakukan post mortem dan kajian terperinci mengenai situasi yang berlaku bagi memastikan pengundi Cina akan tetap memberi sokongan bukan saja kepada MCA malah BN.

‘‘Kita akan tengok apa yang patut dan perlu kita lakukan untuk menangani situasi tersebut,” katanya.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai MCA yang hanya mendaftarkan dua pemilih baru di negeri ini sepanjang tempoh empat bulan pertama tahun ini, Yen Yen enggan mengulas lanjut kerana belum melihat laporan berkenaan.

Tiada ulasan: