Selasa, 25 Mei 2010

Kesal UMNO dipersalahkan

KUALA LUMPUR 25 Mei - UMNO tidak pernah mencampuri urusan parti-parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) walaupun ketika mereka sedang bergelut dengan masalah dalaman masing-masing.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, UMNO tidak pernah berniat untuk berbuat demikian apatah lagi memecahbelahkan parti-parti komponen kerana ia akan memberi kesan terhadap kekuatan BN sendiri.

Beliau yang berasa amat kesal apabila UMNO dituduh menggunakan 'pembunuhan politik'(political assassin) untuk memecahbelahkan MIC mahu tuduhan itu disertakan dengan bukti jika ia benar-benar berlaku.

"Saya kesal dan kecewa kerana adanya tuduhan seperti ini. Ia tidak sepatutnya berlaku dan tidak seharusnya UMNO dipersalahkan," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan tambahan baru Institut Kemajuan Desa (Infra) di sini hari ini.

Mohd. Shafie diminta mengulas tuduhan S. Vell Paari iaitu anak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bahawa UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' untuk memecahbelahkan parti komponen BN itu dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today semalam.

Vell Paari yang merujuk kepada desas-desus mengenai kewujudan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) mendapat restu daripada pemimpin tertinggi UMNO turut menyelar parti orang Melayu itu kerana memulakan satu tindakan berbahaya.

Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan menubuhkan GAS yang akan dilancarkan pada 30 Mei ini selepas dipecat daripada parti itu berikutan desakannya supaya Samy Vellu segera berundur.

Mohd. Shafie berkata, kepimpinan UMNO tidak pernah berbincang atau bercakap mengenai sebarang usaha untuk masuk campur dalam masalah MIC.

"Apa yang kita ingin lihat ialah parti komponen BN diperkuatkan. Saya tidak tahu sehingga tahap ini kita dipersalahkan. Parti komponen lain juga ada masalah tetapi ini tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata, MCA yang mengalami kemelut dalaman tidak menyalahkan UMNO atas perkara yang berlaku sebaliknya berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Husseinberkata, masalah yang dihadapi MIC kini langsung tiada kena-mengena dengan UMNO.

"Takkan semua yang tak kena, UMNO yang menjadi dalang. MIC perlu selesaikan masalah sendiri tanpa perlu menuduh orang lain," katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, hairan dengan tindakan Vell Paari itu yang dilakukan tanpa usul periksa.

Sehubungan itu, Bung Mokhtar mahu anak Presiden MIC itu meminta maaf secara terbuka terutama kepada pemimpin-pemimpin UMNO.

Ketua Penerangan Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican pula menyifatkan Vell Paari sebagai seorang yang biadab dan tidak bermaruah.

''Beliau tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu kerana beliau memiliki 'benih kepimpinan' yang lebih matang dan berpandangan jauh, tetapi sayangnya Vell Paari telah menampilkan arus pemikiran yang terhad,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee berkata, Vell Paari tidak berhak membuat tuduhan sebegitu kerana UMNO tidak mempunyai masalah dengan MIC mahu pun komponen yang lain.

''Sepatutnya Vell Paari menasihati bapanya supaya segera meletakkan jawatan kerana kepimpinannya sudah ditolak oleh sebahagian besar masyarakat India,'' kata beliau.

Tiada ulasan: