Isnin, 3 Mei 2010

Ketua UMNO mohon maaf dakwaan curi pasir



RAWANG – Dakwaan wujudnya kegiatan mencuri pasir di Kampung Tanjung pada akhir September tahun lalu ditarik balik Ketua UMNO cawangan berkenaan, Anuar Zainuddin.

Menurutnya, sebelum ini beliau mendakwa mengenai kegiatan itu yang dikatakan sudah berlarutan hampir sebulan, namun menarik balik kerana tidak mahu isu itu berlarutan.

“Saya tidak mahu memanjangkan lagi isu ini dan biaralah segalanya diselesaikan secara baik.

“Saya sedia memohon maaf sekiranya dakwaan sebelum ini tidak benar dan meminta pihak JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) serta kontraktor yang melakukan kerja berkenaan supaya menerima permohonan maaf ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Anuar berharap, isu pasir tidak lagi ditimbulkan selepas ini dan sekiranya terdapat sebarang aktiviti mengorek dan mengeluarkan pasir di kawasan berkenaan ia wajar diperjelaskan kepada penduduk bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Menurutnya, papan tanda juga perlu dipasang sebagai makluman mengenai kegiatan tersebut yang dijalankan dengan kebenaran.

Oktober tahun lalu, Sinar Harian mengeluarkan laporan mengenai kegiatan curi pasir yang terus berleluasa di kampung berkenaan.

:Dakwaan itu dikeluarkan Ketua UMNO Cawangan berkenaan yang mengatakan kegiatan itu didalangi pihak tertentu menyebabkan ia terus berleluasa.

:Kegiatan itu turut dikatakan memberi kesan terhadap struktur tebing konkrit yang dibina di sepanjang Sungai Kampung Tanjong sehingga menyebabkan keretakan dan runtuh.

Bagaimanapun, dakwaan itu disangkal kontraktor dan Pengerusi JKKK kampung berkenaan kerana aktiviti itu dilakukan atas arahan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Gombak.

Menurut mereka, aktiviti dilakukan bukan hanya mengorek pasir tetapi kerja mengorek dan mengeluarkan kelodak di kawasan itu bagi mengelakkan kejadian banjir yang kerap berlaku di kampung terbabit.

Tiada ulasan: