Khamis, 20 Mei 2010

Kim Ho cuba masuk DUN

KUCHING 20 Mei - Meskipun digantung daripada menghadiri sesi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Dominique Ng Kim Ho iaitu wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) cuba membuat kecoh pada hari keempat Persidangan DUN Sarawak Ke-16 hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan itu cuba memasuki kawasan Kompleks DUN Sarawak pada pukul 10 pagi ini meskipun dihalang oleh pengawal keselamatan daripada berbuat demikian.

Kim Ho yang tiba dengan enam atau tujuh anggota PKR yang lain disekat masuk oleh pengawal keselamatan pada jarak satu kilometer daripada laluan masuk ke kompleks berkenaan.

Disebabkan halangan berkenaan, berlaku pergelutan antara pengawal keselamatan dengan pemimpin pembangkang berkenaan yang berlangsung selama kira-kira satu jam dalam keadaan cuaca hujan.

Kim Ho yang dilihat meninggikan suaranya kepada pengawal keselamatan itu memaklumkan bahawa dia ingin masuk ke bahagian galeri awam bagi menyaksikan perjalanan persidangan tersebut.

Pada persidangan DUN Sarawak semalam, Kim Ho memasuki galeri awam menyebabkan Speaker DUN Sarawak, Datuk Seri Mohd. Asfia Awang Nassar difahamkan telah mengeluarkan arahan supaya wakil rakyat tersebut dihalang daripada memasuki kompleks DUN tersebut.

Sementara itu, kawalan di setiap sudut Kompleks DUN Sarawak ditingkatkan malah kehadiran orang ramai termasuk petugas wartawan turut diperiksa dengan terperinci dengan menggunakan alat pengimbas.

Kim Ho adalah salah seorang daripada dua ADUN pembangkang yang digantung daripada menghadiri sesi DUN Sarawak selama 12 bulan berkuat kuasa serta merta Isnin lalu.

Kim Ho dan Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa) digantung atas kesalahan yang dilakukan semasa sidang DUN, Mei tahun lalu.

Kim Ho digantung kerana menghina Dewan dengan mengeluarkan kenyataan Kanggaroo Courtmanakala Chieng Jen membuat tuduhan liar terhadap Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datuk Daud Abdul Rahman.

Kedua-dua kes tersebut kemudian dirujuk kepada Jawatankuasa Keistimewaan DUN sebelum keputusan penggantungan dibuat menerusi kiraan undi daripada ahli dewan berdasarkan sistem kiraan majoriti.

Tiada ulasan: