Ahad, 23 Mei 2010

Krisis MIC beri kesan kepada Barisan Nasional

TEMERLOH 23 Mei - UMNO mahu kemelut kepimpinan yang melanda MIC diselesaikan segera bagi mengelakkan ia memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, walaupun UMNO tidak berniat untuk campur tangan dalam kemelut yang melanda parti itu tetapi apa yang berlaku pada masa ini boleh menjejaskan kestabilan BN.

"Kita menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan MIC untuk menyelesaikan masalah itu. Namun, masalah yang berlaku dalam MIC itu akan memberi tempias kepada parti komponen BN lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat berkelompok cawangan-cawangan UMNO dalam Bahagian Temerloh di Dewan UMNO bahagian itu di Mentakab, dekat sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin.

Beliau mengulas desakan beberapa pemimpin parti terbesar kaum India itu supaya Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berundur lebih awal berbanding pada September tahun depan.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie menegaskan, penyelesaian kemelut dalaman MIC itu sekali gus dapat memulihkan semula keyakinan rakyat kepada BN.

"Kita sedang melakukan transformasi dalam BN dan pemulihan krisis yang berlaku dalam MIC akan mempercepatkan lagi proses transformasi yang sedang kita lakukan," tegasnya.

Mengulas desakan UMNO Bahagian Kalabakan supaya pucuk pimpinan BN mengembalikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah kawasan Merotai yang kini diwakili Parti Liberal Demokratik (LDP) kepada UMNO, Mohd. Shafie menjelaskan, BN akan memperhalusi cadangan tersebut.

Dalam perkembangan lain, kata beliau, pihaknya mengesan seramai 661,000 ahli UMNO yang 'hilang' sepanjang proses pemutihan yang dijalankan oleh parti tersebut.

"Kita sedang menyemak semula senarai keahlian tersebut kerana daripada jumlah itu, mungkin ada yang telah meninggal dunia atau sebagainya," jelasnya.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis tersebut, Mohd. Shafie mengajak semua ahli UMNO melakukan transformasi dan perubahan dalam strategi berkempen pada setiap pilihan raya.

Beliau menjelaskan, kekalahan BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu baru-baru ini berpunca daripada kesilapan strategi berkempen.

"Kita dapati strategi kempen pada pilihan raya itu adalah kita lebih banyak bertahan dan bukan 'menyerang' berbanding apa yang dilakukan parti lawan. Tindakan defensif ini menyebabkan kita tewas," tegasnya.

Tiada ulasan: