Jumaat, 21 Mei 2010

MCA tak wajar salahkan dasar kerajaan

KUALA LUMPUR 21 Mei - MCA perlu rasional dan tidak wajar menyalahkan pihak lain termasuk polisi kerajaan yang dikatakan menjadi punca utama dinginnya sokongan kaum Cina kepada Barisan Nasional (BN).

Tokoh wartawan, Datuk A. Kadir Jasin berkata, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek amat tidak wajar bersikap sedemikian kerana parti yang mewakili kaum Cina tersebut adalah sebahagian daripada pelaksanaan polisi kerajaan itu sendiri.

Sepatutnya, menurut beliau, Soi Lek perlu mengucapkan terima kasih dan merakamkan setinggi penghargaan terhadap dasar kerajaan yang terbukti telah mengurniakan lebihan besar kek ekonomi kepada kaum Cina berbanding yang diperoleh bumiputera dan kaum India.

"MCA terutama presidennya tidak boleh berterusan menyalahkan pihak lain atas sokongan teruk kaum Cina kepada parti itu. Tambahan pula apabila beberapa kerusi yang dimenangi mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu, banyak bergantung kepada undi Melayu," katanya dalam blognya, kadirjasin.blogspot.com di bawah entri bertajuk, 'MCA: Antara Kemurahan Hati dan Menjadi Intelektual'.

Kadir yang juga Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn. Bhd. mengulas kenyataan Soi Lek pada 18 Mei lalu yang dilaporkan sebagai menyatakan bahawa masyarakat Cina kini lebih memfokuskan pada isu-isu intelektual berbanding soal asas yang menjadi keutamaan pada masa lalu.

Soi Lek yang mengeluarkan kenyataan itu kepada sebuah portal berita propembangkang, dikatakan menyalahkan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang menjadi faktor utama sokongan masyarakat Cina kepada Barisan Nasional (BN) terjejas.

Menurut portal itu, Soi Lek mengatakan kaum Cina lebih mengambil berat mengenai perkara intelektual seperti keseimbangan, akses pada pendidikan, adil dan saksama, biasiswa, kehakiman dan jenayah, bukannya hanya sekadar kemurahan hati kerajaan.

Tambah Kadir, beliau langsung tidak menafikan keperluan terhadap perkara intelektual itu, malah amat menyokongnya supaya ia dilaksanakan dengan penuh adil dan saksama bagi memastikan tidak berlakunya ketirisan dan kepincangan.

Beliau berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) menyasarkan bumiputera akan memperoleh 30 peratus daripada kekayaan ekonomi negara, tetapi malangnya ia masih tidak tercapai.

"Pada masa bumiputera dan kumpulan miskin Cina dan India ketinggalan daripada kemurahan hati kerajaan dalam DEB, ahli-ahli perniagaan dan profesional Cina mendapat manfaat langsung daripada dasar itu.

"Kumpulan ini mendapat segalanya daripada kemurahan hati kerajaan itu, monopoli, konsesi, kontrak dan subsidi - bermula daripada monopoli gula, konsesi balak, francais perjudian, syarikat penjana tenaga bebas (IPP), kontrak bernilai berbilion yang memperoleh subsidi secara langsung atau tidak.

"Hakikatnya, kemurahan hati kerajaan melalui dasar itu bukan sahaja membantu syarikat konglomerat besar tetapi pada masa sama turut membantu menyelamatkan mereka daripada gulung tikar," katanya.

Kadir turut memberikan beberapa contoh bantuan yang diberikan kerajaan bagi menyelamatkan beberapa syarikat besar tersebut daripada diisytiharkan bankrap.

Beliau turut menarik perhatian dengan mengaitkan penambahan kekayaan terbaru sebanyak RM525 juta yang diperoleh tokoh korporat dan antara orang terkaya di Malaysia, Tan Sri Vincent Tan apabila Kementerian Kewangan membenarkan syarikatnya, Ascot Sports mengendalikan perjudian bola sepak Piala Dunia 2010.

Tiada ulasan: