Ahad, 30 Mei 2010

MIC perlu 'dengar dan lihat' atasi krisis

KUALA LUMPUR 30 Mei - Parti Gerakan hari ini mencadangkan kepada kepimpinan MIC agar menggunakan kaedah 'dengar dan lihat' bagi menyelesaikan masalah dalaman parti tersebut.

Naib Presiden Gerakan, Senator A. Kohilan Pillay (gambar) berkata, jika MIC dapat melaksanakan kaedah tersebut melalui perbincangan secara kolektif di peringkat akar umbi, beliau yakin MIC akan berjaya mengatasi semua masalah dalamannya.

"Perkara utama yang perlu dibincangkan oleh MIC adalah kehendak masyarakat India.

"Jika kehendak tersebut mampu dilaksana oleh MIC, saya yakin parti itu akan menjadi lebih kukuh pada masa depan,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan bantuan bagi sekolah-sekolah Tamil di negeri Selangor di sini hari ini.

Timbalan Menteri Luar itu berkata demikian ketika diminta mengulas krisis dalaman MIC sehingga tertubuhnya Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) serta Gerakan Anti Mugilan (GAM).

Mengulas lanjut, Kohilan berkata, MIC sewajarnya menyelesaikan segera segala kemelut kepimpinan parti itu bagi mengelakkan ia memberi kesan kepada Barisan Nasional (BN).

"Parti komponen dalam BN umpama adik-beradik, jika salah satu parti ini menghadapi masalah ia pasti akan menjejaskan keharmonian dalam kekeluargaan BN.

"Saya juga yakin MIC dapat menyelesaikan masalah mereka dengan cara baik sekali gus menguatkan ikatan perpaduan di kalangan ahli MIC,'' katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Kohilan menyerahkan sejumlah RM598,320 kepada 40 buah sekolah Tamil di seluruh Selangor.

Sumbangan tersebut meliputi wang tunai RM3,000 untuk setiap sekolah, bahan bacaan untuk perpustakaan sekolah serta bantuan mesin air minuman (O2 Plus).

Menurut Kohilan, bantuan tersebut diperolehi melalui sumbangan syarikat-syarikat yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka untuk membantu pembangunan sekolah Tamil.

Tiada ulasan: