Isnin, 31 Mei 2010

Mohan minta Mugilan hentikan drama

KUALA LUMPUR 31 Mei - Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan menggesa penganjur Gerakan Anti Samy Vellu (GAS), V. Mugilan menghentikan dramanya yang mendesak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu meletakkan jawatan.

Ketuanya, T. Mohan berkata, Mugilan harus menerima hakikat bahawa beliau tidak boleh menarik kumpulan yang besar bagi menjayakan perhimpunan GAS.

Menurutnya, Mugilan sebelum ini telah memaklumkan akan menyokong Samy Vellu untuk terus memegang jawatan Presiden jika dia gagal menarik sokongan ahli MIC.

"Oleh itu, Mugilan kini harus menyokong Presiden MIC dan menghentikan dramanya segera.

"Semua orang tahu perhimpunan GAS telah gagal. Jika Mugilan adalah seorang yang berprinsip, beliau harus melupakan GAS seperti yang diberitahunya kepada media sebelum ini,'' katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Mugilan pernah memberitahu beliau mampu mengumpul 15,000 penyokong bagi menjayakan perhimpunan GAS bagi mendesak Samy Vellu untuk meletakkan jawatan dengan segera.

Tetapi perhimpunan GAS yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Malaysia, The Mines Resorts (MIECC) di Seri Kembangan semalam hanya dihadiri kira-kira 5,000 penyokong.

Tambah Mohan, Mugilan harus mengakui beliau telah gagal dalam mengumpulkan orang ramai dan harus membubarkan GAS kerana ia tidak akan memberi apa-apa manfaat kepada kaum India di negara ini.

"Mugilan harus membenarkan Presiden MIC menjalankan pelan peralihan kuasa dalam keadaan aman kerana perhimpunan GAS semalam telah pun membuktikan ramai yang tidak menyokongnya,'' kata beliau.

Menurut beliau, pihaknya juga berasakan Mugilan hanya mencari alasan dengan menuduh Samy Vellu melakukan sabotaj dalam menggagalkan perhimpunan itu.

"Memang senang untuk memberi kenyataan tetapi mana fakta berhubung dakwaan itu.

"Beliau juga mendakwa salah seorang pemimpin GAS telah hilang dan Samy Vellu membelanjakan RM5 juta untuk menghalang ahli-ahli MIC menghadiri perhimpunan itu,'' katanya.

Tambahnya, Pergerakan Pemuda MIC mahu Mugilan menarik balik tuduhan itu, jika tidak pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

"Kami juga mahu pihak polis menyiasat kenyataan Mugilan dalam laman web sosial Facebook yang menyatakan UMNO sentiasa bersama GAS dan berjanji akan bersamanya sehingga mencapai matlamatnya,'' ujar beliau.

Tiada ulasan: