Isnin, 31 Mei 2010

Mugilan buat laporan polis Facebooknya diceroboh

KUALA LUMPUR 31 Mei - Bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan hari ini membuat satu laporan polis setelah laman sosial Facebook peribadinya diceroboh oleh individu tidak dikenali.

Beliau membuat laporan itu di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, pada pukul 3.45 petang.

Menurut Mugilan, beliau menyedari tentang pencerobohan itu daripada rakannya kira-kira pukul 3 pagi ini, yang dilakukan oleh individu terbabit dengan menggunakan nama 'Vetri Vel'.

Katanya, isi kandungan itu berbunyi 'Terima kasih kepada rakan-rakan Barisan Nasional (BN) yang membantu pelancaran Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS).

Tambahnya, selain itu 'Penyokong-penyokong Hindraf adalah penunjuk perasaan jalanan'.

"Justeru saya merasakan kenyataan itu berbaur hasutan dan boleh menimbulkan kemarahan dan kekeliruan orang ramai.

"Ia adalah jenayah siber. Saya berharap polis dapat menyiasat perkara itu agar individu terbabit dapat diambil tindakan," katanya ketika ditemui sebelum membuat laporan itu di sini hari ini.

Turut hadir bekas anggota Jawatan Kuasa Kerja Pusat (CWC), G. Kumar Aamaan dan peguamnya, Rajasekaran Thiyagaran.

Sementara itu, mengulas pelancaran GAS di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIEC) semalam, V. Mugilan berpuas hati dengan sambutan diberikan walaupun pertukaran lokasi dimaklumkan dalam tempoh singkat.

"Saya percaya yang hadir adalah 100 peratus rakyat negara ini dan 80 peratus terdiri daripada anggota MIC sendiri. Kami merancang membuat sidang akhbar pada Isnin ini bagi demonstrasi baru," katanya lagi.

V. Mugilan yang juga Penyelaras GAS berkata, dia memberi tempoh seminggu kepada Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu untuk berdamai dan membuat keputusan untuk berundur daripada parti.

"Saya yakin pada 10 Julai ini, Samy Vellu akan berundur. Tiada guna pemimpin tidak disukai ramai masih mempertahankan kepimpinannya itu," ujarnya.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi hari ini mengesahkan menerima laporan tersebut.

Tiada ulasan: