Jumaat, 28 Mei 2010

Murugesan tegur Samy

PETALING JAYA 28 Mei – Setiausaha Agung MIC, S. Murugesan menyifatkan tindakan Datuk Seri S. Samy Vellu menggunakan kuasa sebagai Presiden dengan memecat sesiapa juga yang menentang beliau boleh menggoncang demokrasi parti itu.

Katanya, tindakan sedemikian adalah tidak wajar memandangkan kesemua mereka yang dipecat tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri dan mengemukakan pandangan masing-masing.

“Saya menentang tindakan menggunakan kuasa Presiden untuk memecat anggota CWC (Jawatankuasa Kerja Pusat) yang meminta Samy Vellu bersara lebih awal kerana itu bukan fungsi sebenar Artikel 61.2 dalam Perlembagaan MIC. Kuasa Presiden sepatutnya menjadi pilihan terakhir.

“Jika dilihat kembali, Samy Vellu sendiri menjadi individu pertama secara terbuka menggesa bekas Presiden MIC, Tun VT Sambanthan meletakkan jawatan kira-kira 40 tahun lalu.

“Situasi kini menunjukkan sejarah telah berulang atau anda boleh katakan ia adalah ‘karma’ untuk Samy Vellu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Samy Vellu sebelum ini menggunakan kuasa Presiden untuk memecat bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan dan beberapa anggota CWC parti tersebut yang menuntut beliau bersara sebelum Julai ini.

Antara anggota CWC yang dipecat ialah G. Kumar Aaman, KP. Samy dan V. Subramaniam.

Tiada ulasan: