Isnin, 3 Mei 2010

Nik Aziz jangan ingat dia sahaja hebat - Noh Omar

KUALA LUMPUR 3 Mei - Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Noh Omar membidas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dilihat masih mempertikaikan larangan penggunaan masjid untuk tujuan politik.

Beliau berkata, Nik Abdul Aziz tidak berhak menyentuh apatah lagi menghina undang-undang negeri lain yang melarang masjid digunakan untuk tujuan berpolitik.

Justeru beliau menegaskan, kenyataan terbaru Mursyidul Am Pas itu yang menyifatkan mereka yang mempertikaikan penggunaan masjid untuk politik sebagai bodoh sebenarnya berbalik kepada Nik Abdul Aziz sendiri.

"Kalau tidak suka dengan syarat yang dikenakan di negeri lain jangan datang, orang-orang Selangor pun mempunyai pegangan agama yang kuat dan jangan ingat hanya Nik Aziz sahaja yang hebat," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menegaskan demikian selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Bersama kementeriannya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan terbaru Nik Abdul Aziz dalam ceramahnya di Tumpat malam semalam yang menyifatkan individu yang enggan membenarkan masjid digunakan untuk berpolitik sebagai "bodoh".

Laporan media menyebut Nik Abdul Aziz yang mempertahankan kenyataannya bahawa masjid boleh digunakan untuk tujuan berpolitik berkata: "Baso bodo payoh nak ajar (jenis bodoh susah hendak diajar), ini lah sikap orang yang amal politik suku agama suku."

Khamis lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menjelaskan bahawa tujuan baginda melarang masjid dari digunakan sebagai pentas politik adalah untuk menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadah itu.

Sultan Selangor memberikan penjelasan itu memandangkan ada sesetengah ahli politik mempertikaikan titah baginda dan menganggapnya sebagai karut dan peninggalan penjajah.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor berkata, kenyataan Nik Abdul Aziz itu menunjukkan Pas dan orang Melayu tidak menghormati Sultan.

Tiada ulasan: