Sabtu, 22 Mei 2010

'Pecat Mugilan tidak adil'

PUTRAJAYA 22 Mei - Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kecewa dengan tindakan MIC memecat Timbalan Ketua Pemudanya, V.Mugilan Rabu lalu.

Beliau turut berasa hairan dengan tindakan parti itu kerana Mugilan dilihat sebagai anak muda yang berpotensi untuk menjadi pemimpin masyarakat India pada masa hadapan.

"Tindakan pemecatan adalah tidak adil kepada Mugilan yang banyak membantu dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru baru ini, walaupun beliau tidak dipilih sebagai calon," katanya.

Beliau diminta mengulas kemelut yang melanda MIC selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Cawangan Bunga Anggerik di Presint 8 di sini hari ini.

Semalam, Mugilan mendedahkan penyingkiran beliau daripada parti itu disebabkan desakannya supaya Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan Presiden MIC dengan segera.

Katanya, berdasarkan surat pemecatan yang diterima, ia tiada kena mengena dengan dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau melakukan sabotaj pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.

Tengku Adnan menafikan dakwaan Mugilan melakukan sabotaj ke atas BN tetapi beliau sebenarnya telah bersama-sama dengan Samy Vellu dan Timbalan Presiden MIC, Senator Datuk G. Palanivel berkempen untuk calon BN, P. Kamalanathan.

"Kita akan cari punca pemecatan itu dilakukan, dakwaan bahawa Mugilan tidak menyokong calon BN adalah salah.

"Saya sendiri tahu Mugilan banyak membantu kemenangan BN di Hulu Selangor," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan pemecatan tersebut hanya akan mengeruhkan lagi masalah dalaman MIC.

"MIC perlu mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti dan tidak perlu mengambil tindakan pemecatan hanya kerana terasa hati," katanya.

Tiada ulasan: