Rabu, 12 Mei 2010

Pembangkang putar-belit isu kalimah Allah


JAMIL Khir Baharom (kiri) beramah mesra bersama pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sibu, semalam.


SIBU 12 Mei - Tindakan pihak pembangkang yang terus menggunakan isu kalimah Allah dalam kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu, disifatkan sebagai tidak menghormati sistem perundangan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penggunaan isu tersebut dalam kempen pilihan raya boleh menyebabkan wujudnya subjudis, malah sama sekali telah melanggar proses serta perintah mahkamah.

Menurutnya, isu penggunaan kalimah Allah masih dalam proses perundangan di mahkamah dan sepatutnya perkara seumpama itu tidak harus dijadikan bahan kempen.

''Hakikatnya, jika segelintir orang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang, bagaimana kita mahu bercakap mengenai Perlembagaan, undang-undang, ketenteraman atau sebagainya.

''Apabila mahkamah tidak dihormati, saya rasa ia satu sikap paling tidak wajar berlaku sehingga isu kalimah Allah dijadikan sebagai bahan kempen pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Agama Sibu di sini hari ini.

Terdahulu beliau diminta mengulas sikap pihak pembangkang yang cuba menggunakan isu kalimah Allah untuk meraih undi pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Jamil Khir berkata, rakyat perlu menghormati perundangan di negara ini dalam usaha menjaga perpaduan dan kepuasan semua kaum dan etnik termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, isu kalimah Allah adalah perkara yang sensitif kepada pihak yang lain dan mungkin sebaliknya kepada satu pihak lagi.

Beliau juga menyelar sikap segelintir pihak yang bercakap lain di depan masyarakat Islam berhubung isu tersebut tetapi di belakang kumpulan lain atau penduduk bukan Islam pula berlawanan sama sekali.

''Apa jenis manusia yang bercakap 'tidak serupa bikin' dan mempunyai dua personaliti seumpama itu.

'Sudah semestinya orang sebegini tidak layak sama sekali untuk menjadi orang yang memimpin kita pada hari ini," ujarnya

Tiada ulasan: