Jumaat, 7 Mei 2010

Pemimpin Pas ‘hebat’ cari wang

KOTA BHARU - Blogger Kikdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abd Aziz mendedahkan beliau mempunyai maklumat bahawa terdapat pemimpin Pas yang ‘hebat’ mencari wang.

Dalam masa sama beliau turut menjelaskan bahawa tindakan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa, yang sebelum ini mengakui terlibat menyumbang dalam penubuhan Syarikat Global Media Channel (GMC) membuktikan wujudnya pemimpin parti yang melaburkan untuk mengukuhkan kedudukan Pas.

“Saya tahu ada pimpinan lain dari Pas juga hebat mencari duit. Kalau Husam laburkan untuk GMC dan akan usahakan RM20 Juta untuk tawan Putrajaya, ke manakah wang yang dicari oleh pimpinan Pas lain dilaburkan?” katanya dalam kenyataan dipetik melalui blognya, semalam.

Husam dalam ceramahnya malam kelmarin, dilaporkan mengakui kewujudan GMC yang sebelum ini didakwa Syed Azidi ditubuhkan untuk menjejaskan reputasi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Namun, Husam berkata, penubuhan GMC hanya bertindak sebagai ‘PR media’ yang lebih menjurus kepada konsep perniagaan sama ada dengan Kerajaan Negeri mahupun parti.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, mengakui membayar lebih daripada angka RM40,000 sebagaimana yang didakwa pihak tertentu bagi menampung keperluan syarikat tersebut.

Dalam pada itu, Syed Azidi turut menempelak sesetengah pemimpin Pas yang sebelum ini secara terangan-terangan mengkritik beliau kerana membuat kenyataan terhadap Husam.

“Pimpinan yang pandai cari duit ini bersorak-sorak bila mereka sangka saya menyerang Husam. Sekarang adakah mereka bersorak-sorak mendedahkan bahawa wang yang mereka cari hasil jual beli balak dan projek Kerajaan Negeri juga mereka laburkan untuk Parti? Adakah mereka seberani Husam?

“Mungkin Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari dan Timbalan Speaker DUN Kelantan Mohamad Zaki Ibrahim, mahu mencabar blogger murahan dan blogger budak budak kampung ini dedahkan itu juga? Kalau mahu silakan, saya dah rindu dendam mendengar kenyataan media anda berdua,” katanya

Tiada ulasan: