Selasa, 25 Mei 2010

Pemuda UMNO Pahang mahu Vell Paari minta maaf

KUANTAN 25 Mei - Pemuda UMNO Pahang mahu S. Vell Paari iaitu anak Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu memohon maaf kepada UMNO kerana menuduh parti itu melakukan 'pembunuhan politik' untuk memecahbelahkan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang diterajui bapanya itu.

Ketua Pemuda UMNO Pahang, Abu Jimi Samat menegaskan, tuduhan Vell Paari itu adalah satu perkara yang serius, oleh itu beliau perlu memohon maaf kepada UMNO dan orang Melayu.

"Beliau perlu membuktikan tuduhannya itu dan jangan cuba mengalihkan perhatian daripada isu sebenar yang berlaku dalam MIC," tegasnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abu Jimi diminta mengulas tuduhan anak Presiden MIC itu bahawa UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' (political assassin) untuk memecahbelahkan parti komponen BN itu dalam wawancara dengan laman web Free Malaysia Today.

Sambil merujuk kepada desas-desus mengenai kewujudan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) mendapat restu daripada pemimpin tertinggi UMNO, Vell Paari yang juga Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC menyelar UMNO kerana memulakan satu tindakan yang berbahaya.

Kemelut MIC dilihat semakin memuncak apabila dua lagi Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC iaitu G. Kumar Aamaan dan KP Samy dipecat daripada parti itu kerana menggesa Samy Vellu segera melepaskan jawatannya.

Tindakan itu juga diambil kerana mereka didakwa menjadi tulang belakang dalam menganjurkan GAS yang akan diadakan pada 30 Mei ini bagi menggesa Presiden MIC itu berundur.

Abu Jimi yang menyangkal dakwaan tersebut menegaskan, Vell Paari perlu sedar bahawa apa yang berlaku dalam MIC ketika ini disebabkan kelemahan kepimpinan bapanya dan tiada kena mengena dengan UMNO.

"Tindakan Vell Paari sebenarnya cuba mengalihkan perhatian daripada masalah sebenar MIC. Apabila berlaku kekecohan, itu petanda pemimpin yang ada sudah tidak mampu untuk menangani masalah yang berlaku.

"Jadi, dia tidak boleh menuduh UMNO kerana masalah yang berlaku dalam MIC sudah lama. Bukan Mugilan (bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan) sahaja yang akan mendesak dia (Samy Vellu) letak jawatan, malah akan lebih ramai lagi berbuat demikian," katanya.

Menurutnya, jika benar ada campur tangan luar, MIC tidak akan goyah sekiranya ia kuat.

Sehubungan itu tegasnya, kepimpinan MIC perlu mengambil iktibar daripada situasi yang berlaku dan tidak menyalahkan pihak lain.

Tambah beliau, kepimpinan MIC termasuk Vell Paari tidak wajar membuat kenyataan terbuka jika benar wujud apa yang didakwanya itu, sebaliknya menggunakan saluran dalaman yang ada.

"Bagaimana jika orang Melayu atau UMNO pula membuat tuduhan kepada MIC? Sepatutnya, jika ada (seperti apa yang didakwa) kena berhadapan, gunakan saluran dalaman. Jika tidak, buat apa MIC ada dalam komponen BN?" katanya.

Tiada ulasan: