Ahad, 9 Mei 2010

Pengguna tertipu telefon tiruan


KUALA KUBU BHARU – Jualan murah setiap hari, dijamin asli, waranti sehingga dua tahun, jaminan pemulangan semula barangan sekiranya rosak serta pemberian aksesori lengkap antara tawaran hebat yang mengaburi mata setiap pembeli.

Tawaran inilah yang menyebabkan ramai di antara pengguna telefon bimbit mengalami kerugian selain terpaksa berputih mata.

Demikianlah yang berlaku terhadap seorang lepasan graduasi sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Selangor yang tertipu dengan tawaran hebat sebuah kedai telefon bimbit di ibu negara.

Zarina Zakaria, 19, bukan saja kerugian ratusan ringgit malah terpaksa menggunakan telefon tiruan yang disangkanya asli.

Semua itu hanya disedari selepas seminggu menggunakan telefon bimbit jenis luar negara yang dibelinya di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, dia terpaksa berputih mata setelah usahanya untuk memulangkan semula telefon bimbit itu ditolak kedai terbabit, malah dia juga terpaksa membayar semula sejumlah wang untuk membaiki kerosakan itu.

“Saya baru seminggu menggunakan telefon ini yang saya beli dengan harga RM420.

“Pada mulanya, promoter kedai itu mengatakan ini adalah handphone original dan meyakinkan saya dengan pemberian waranti sehingga 24 bulan.

“Tetapi, selepas seminggu dah rosak dan saya cuba memulangkan semula di kedai terbabit malangnya tidak diterima,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, ketika membeli telefon bimbit itu dia datang bersama rakan-rakannya yang turut tertipu dengan kata-kata manis jurujual terbabit.

Zarina berkata, dia akan membuat laporan polis berhubung perkara itu dan akan membuat aduan di Tribunal Pengguna untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, seorang perantau dari Sabah yang baru empat bulan berada di Kuala Lumpur turut mengalami situasi sama apabila telefon bimbit jenis dari luar negara yang dibelinya di kedai sama disahkan tiruan.

Boni Sailin, 42, dia tertarik dan berminat untuk membeli telefon tersebut setelah melihatkan harganya yang jauh lebih rendah berbanding harga jualan di Sabah.

“Saya beli sebab harganya cuma RM400. Kalau di Sabah, model sama berharga RM960.

“Lagi pun, promoternya memberitahu telefon ini original dan waranti serta aksesori penuh diberikan,” katanya.

Bagaimanapun, dia yang bekerja sebagai buruh binaan dan baru menerima gaji bulan keempatnya merasakan tertipu dan kerugian besar.

Boni juga bercadang membuat laporan polis dan aduan di Tribunal Pengguna hari ini dan menggesa supaya pihak berkuasa melakukan sesuatu terhadap peniaga telefon bimbit menjual produk tiruan

Tiada ulasan: