Ahad, 9 Mei 2010

Penjara Pudu jadi pusat bandar Bukit Bintang

Ulu Kinta – UDA Holdings Berhad (UDA) akan membangunkan kawasan Penjara Pudu menjadi Pusat Bandar Bukit Bintang dalam perancangan pembangunan Kuala Lumpur pada 2017.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelan induk pembangunan itu sedang disediakan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar raya terkemuka di Asia.

Menurutnya, kawasan seluas 8.6 hektar membabitkan peruntukan RM5 bilion itu akan menjadi satu kawasan pembangunan bercampur.

“UDA sedang dalam usaha menyediakan pembangunan semula kawasan penjara menjadi pembangunan bercampur yang melibatkan unit kondominium, hotel, bangunan komersial yang akan dibangunkan dalam enam fasa.

“Melihat kepada aliran pembangunan yang berubah pesat, UDA sedang menyediakan pelan induk baru supaya mengubah suai pembangunan tersebut selaras dengan kehendak masa kini,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Kereta Jenazah kepada Masjid Bercham Raya di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Urusan UDA, Datuk Jaafar Abu Hassan.

Ahmad Husni berkata, UDA akan memberi keutamaan pemilikan kepada Bumiputera dalam bentuk penjualan terus kepada individu atau penjualan institusi yang menjaga pembangunan negara untuk menjadi harta pelaburan mereka dan 40 lagi akan dibuka kepada umum.

“UDA akan melaksanakan pembangunan tersebut secara sendiri atau melihat kepada beberapa permohonan untuk mengadakan pembangunan secara usaha sama dengan UDA,” katanya

Tiada ulasan: