Selasa, 4 Mei 2010

Perhimpunan haram: 10 orang termasuk Ahli Parlimen bebas

KUALA LUMPUR 4 Mei – Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di sini hari ini melepaskan dan membebaskan 10 orang termasuk dua Ahli Parlimen pembangkang dan seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada tuduhan menyertai satu perhimpunan haram di Parlimen pada tahun 2007.

Hakim Fathiyah Idris membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Anslem Charles Fernandis gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Dalam penghakimannya, Fathiyah berkata, seramai 13 saksi memberi keterangan bahawa ada orang awam berada di susur keluar tetapi tiada keterangan daripada mana-mana saksi yang menunjukkan wujudnya satu perhimpunan.

Mereka ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo’Lo Mohamad Ghazali, 53; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli, 54; ADUN Kota Damansara, Dr. Mohd. Nasir Hashim, 63; Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi, 40; dan Ketua Muslimat Pas, Nuridah Mohd, 49.

Turut sama dilepaskan dan dibebaskan ialah Ang Hiok Gak, 53; Mohammad Sabri Sapiai, 44; Hashim Awang, 41; Azira Ariffin, 36; dan Mohd. Badilah Muda, 35.

Mereka didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu di jalan susur keluar bangunan Parlimen pukul 11 pagi pada 11 Disember, 2007. – Bernama

Tiada ulasan: