Khamis, 6 Mei 2010

Perjelas kerugian Pos Malaysia – Reezal

KUALA LUMPUR 6 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO menggesa pihak yang dikaitkan dengan kerugian Pos Malaysia Berhad membuat penjelasan segera kerana bimbang kepercayaan rakyat terhadap syarikat milik kerajaan (GLC) menjadi pudar jika kemelut itu dibiar berterusan.

Ketua Penerangannya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, pihaknya turut bimbang tindakan pihak tersebut yang berterusan mendiamkan diri akan memberi implikasi politik jangka panjang yang negatif kepada kerajaan.

“Saya khuatir sekiranya tidak diberi penjelasan menyeluruh rasa percaya rakyat terhadap kewibawaan GLC akan hilang,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan kerugian RM546 juta yang terpaksa ditanggung oleh Pos Malaysia sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein menafikan jumlah tersebut sebaliknya menjelaskan kerugian yang dialami Pos Malaysia hanya berjumlah RM227 disebabkan pelaburan dalam Transmile.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, kerugian yang dialami Pos Malaysia adalah sesuatu yang merisaukan kerana, walaupun dengan pelbagai bantuan serta dokongan diberi kerajaan, masih terdapat syarikat gagal ditadbir urus dengan baik sehingga mencatat kerugian berjumlah ratusan juta.

Tambahnya, segala bantuan dan dokongan itu bagaikan tidak memberi sebarang kesan kepada sistem pengurusan sesebuah syarikat terutamanya GLC.

“Sepatutnya dengan program transformasi GLC yang dijalankan sejak 2004 lagi, masalah kerugian tidak timbul lagi.

“Tetapi kini rakyat mulai bertanya sejauh mana program transformasi ini mampu menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan negara,’’ jelasnya.

Tiada ulasan: