Isnin, 10 Mei 2010

Persepsi UMNO tidak relevan dicipta orang yang kecewa

KUALA LUMPUR 10 Mei – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, persepsi UMNO tidak relevan sengaja dicipta oleh orang-orang yang kecewa dan telah keluar daripada parti itu.

Yakin ia dakwaan tidak berasas, Tengku Adnan berkata, persepsi seumpama itu mungkin dicipta setelah mereka tidak mendapat tempat lagi dalam parti.

“Mereka hendakkan sesuatu tetapi tidak dapat mencapai apa yang dihasratkan maka dibina satu persepsi kepada rakyat bahawa UMNO tak relevan,” katanya dalam temu bual dengan umno-online.com hari ini, sempena ulang tahun ke-64 UMNO esok.

Tengku Adnan berkata, berbeza daripada persepsi itu, jumlah anggota UMNO kini semakin meningkat setiap hari, termasuk dari kalangan generasi muda yang sudah mulai berminat terhadap perjuangan UMNO.

"Saya percaya, selagi Melayu ada di bumi Malaysia ini, UMNO tetap akan terus menjadi nadi penggerak bagi memastikan hak anak bangsa, negara dan agama tidak digugat,” katanya.

Sempena Hari UMNO esok, ibu pejabat UMNO akan mengadakan majlis sambutan yang akan dimulai dengan majlis pelancaran Kembara Bermotosikal ke Tanah Suci 2010 diikuti solat maghrib, bacaan Yasin, tahlil dan doa kesyukuran di Dewan Tun Razak 4, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bermula 6.30 petang esok.

Perdana Menteri kemudiannya dijadual menyampaikan ucapannya diikuti penyampaian Anugerah Tokoh Melayu Terbilang.

Kira-kira 3,000 tetamu dijangka menghadiri majlis itu termasuk pemimpin-pemimpin parti komponen BN. – Bernama

Tiada ulasan: