Ahad, 2 Mei 2010

Pilihan Raya Kecil Sibu satu cabaran kepada BN, kata Najib

Pilihan Raya Kecil Sibu satu cabaran kepada BN, kata Najib

SIBU - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bahawa pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu 16 Mei ini merupakan satu cabaran yang perlu diambil serius.

Beliau bagaimanapun yakin atas semangat setiakawan dalam BN pusat dan Sarawak, jentera pilihan raya BN akan bergerak dengan lancar untuk mencapai kejayaan dalam mengekalkan kerusi Sibu.

"Persaingan yang kita (BN) hadapi mungkin sengit dan akan tertumpu pada kesungguhan dalam usaha yang kita lakukan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan tengah hari dan penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 32 veteran angkatan tentera Malaysia (ATM) Sarawak di Kem Rascom, Briged Kesembilan Infantri di Jalan Ulu Oya dekat sini, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin, Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Ismail Jamaluddin dan calon BN Robert Lau Hoi Yew.

Ditanya peluang BN untuk mengekalkan kerusi Sibu, Perdana Menteri berkata, BN akan berusaha sedaya upaya dengan kerjasama semua parti-parti komponen BN.-Bernama

Tiada ulasan: