Selasa, 4 Mei 2010

Polis tidak terbabit dalam kejadian kes pukul

TAIPING – Polis menafikan tuduhan orang ramai berhubung rakaman video memaparkan seorang anggota polis yang kononnya memukul pelajar tingkatan lima.

Ketua Polis Taiping, Asisten Komisioner Yusuf Mohd Diah berkata, kes pergaduhan yang berlaku di Changkat Jering pada 14 April lalu mengatakan anggotanya mungkin terbabit memukul mangsa.

Menurutnya, mangsa kini telah dihukum atas kesalahan menagih. Pihak polis tidak terbabit dalam kes ini dan bagi menambah keyakinan umum, buktinya pihaknya telah menjalankan operasi sejak 14 April 2010.

“Setakat ini kami menahan 12 suspek lelaki dan mereka telah menyerahkan bukti-bukti seperti gari yang digunakan dalam kejadian tersebut. Suspek yang ditahan berusia antara 19 hingga 60 tahun,”katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD).

Beliau berkata, dalam rakaman berkenaan seorang suspek yang memukul mangsa memakai kemeja-t berlogo polis, ini yang memberi tanggapan negatif masyarakat kepada pihak polis.

Katanya, kemeja-t tersebut adalah kemaja-t sukan untuk pertandingan boling. Kemeja-t ini milik seorang anggota polis pasukan gerakan awam (PGA) yang telah meninggal dunia enam tahun yang lalu.

“Kemeja-t tersebut telah dipakai oleh adik kandungnya ketika memukul mangsa semasa melakukan rondaan pencegahan dadah di kampung tersebut manakala gari pula dipercayai diperolehi dari negara jiran iaitu Thailand.

“Pihak polis masih menyiasat kes ini secara terperinci bagi mendapat butiran lanjut untuk tindakan di mahkamah dan akan mengambil sedikit masa,”katanya.

Yusuf berkata pihaknya percayai suspek yang memukul mangsa tidak lebih dari 10 orang, selebihnya dalam rakaman tersebut adalah mereka yang melihat kejadian, walau bagaimanapun mereka tetap ditahan sebagai suspek untuk membantu siasatan.

“Mangsa disahkan sebagai pesakit luar dan tidak begitu serius sehingga boleh dimasukkan ke wad,”katanya.

Tiada ulasan: