Khamis, 13 Mei 2010

Premium tanah milik orang Melayu, Cina berbeza di Selangor

SHAH ALAM 13 Mei – Kerajaan negeri Selangor diselar kerana mengenakan kadar premium yang berbeza bagi tanah-tanah di kampung Melayu tradisional berbanding kampung-kampung baru.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, ketika ini kadar premium ke atas tanah di kampung tradisional Melayu ialah RM10 bagi satu kaki persegi berbanding hanya RM1 bagi keluasan yang sama untuk kampung baru.

Beliau berkata, situasi yang berlaku di kawasan Sekinchan jelas menunjukkan corak pentadbiran kerajaan pakatan pembangkang adalah berat sebelah dengan lebih mengutamakan kaum tertentu sehingga meminggirkan orang Melayu.

Mohamad Khir juga tidak menolak tindakan itu hanyalah bermotifkan politik untuk mendapat sokongan kaum Cina memandangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut, Ng Suee Lim daripada DAP.

Katanya, perkara itu jelas apabila kerajaan negeri mengenakan kadar premium tanah RM1 bagi setiap kaki persegi kepada penduduk kampung baru di Bagan Sekinchan.

“Sebaliknya, kawasan kampung tradisional seperti di Kampung Penerangan, juga di Sekinchan, penduduk dikenakan premium RM10 sekaki persegi.

“Adakah ini yang dinamakan keadilan? Jika kerajaan negeri sering mendabik dada mengatakan mereka adil dalam pentadbiran, kenapa dalam soal ini mereka bersikap sebaliknya?

“Apakah kerajaan negeri pada hari ini hanya tunduk kepada desakan bagi kepentingan satu kaum sahaja?” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tiada ulasan: