Khamis, 27 Mei 2010

Proses pemutihan UMNO


Najib Tun Razak melihat sesuatu yang ditunjukkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman dengan diperhatikan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal serta Naib Ketua Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC, semalam.


KUALA LUMPUR 27 Mei - UMNO telah melakukan proses pemutihan dengan mengeluarkan kira-kira 380,000 nama daripada daftar keahliannya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presiden UMNO itu berkata, proses berkenaan menjadikan jumlah keahlian sebenar UMNO pada masa ini ialah seramai 3,159,454 orang.

Katanya, langkah itu dilakukan kerana UMNO mahu rekod keahliannya melambangkan kekuatan sebenar parti tanpa sebarang pertikaian.

"Setakat ini, melalui proses pemutihan itu kita telah keluarkan lebih kurang 380,000 ahli kerana ada yang tidak dapat dikesan, ada yang telah meninggal dunia dan sebagainya.

"Jadi jumlah ahli UMNO yang dapat kita sahkan ialah seramai 3,159,454 orang," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, mesyuarat MT UMNO juga membuat beberapa rumusan mengenai keputusan Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu baru-baru ini yang tidak memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Katanya, walaupun perkara itu dalam konteks BN Sarawak, UMNO perlu ambil tahu kerana parti itu turut bergantung kepada kekuatan parti komponen khususnya di negeri berkenaan.

"Ada kekuatan dan kelemahan kita tapi kita tidak akan sebut secara terbuka, biarlah ia menjadi proses dalaman yang wajar dilalui parti kita.

"Proses muhasabah ini lebih menguntungkan dan berfaedah jika dibuat secara dalaman daripada kita meluahkan ia secara terbuka," tegasnya.

Sementara itu, Najib berkata, mesyuarat hari ini turut memberi penekanan bahawa program Juara Rakyat mesti dilaksanakan mengikut garis panduan parti iaitu melibatkan penyertaan rakyat jelata.

"Perkara itu kita telah ulangi semula dalam mesyuarat ini dan kita minta semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri memberi tumpuan supaya jentera parti kita bukan sahaja bergerak cergas tetapi menepati kumpulan sasar yakni rakyat teramai," katanya

Tiada ulasan: