Sabtu, 15 Mei 2010

Pulau Pinang halang UMNO guna dewan

PULAU PINANG 15 Mei - Mungkin takut kebenaran diketahui rakyat, kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan kebenaran menggunakan Dewan Kongsi di Balik Pulau di sini bagi program Pentas Pemuda UMNO yang sepatutnya berlangsung malam ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim dan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Lokman Noor Adam adalah antara pemimpin yang menyampaikan ceramah pada program tersebut.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Balik Pulau, Aziaan Ariffin berkata, beliau amat terkejut apabila dimaklumkan oleh pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya bahawa kebenaran yang diberikan telah dibatalkan.

Katanya, pegawai tersebut menjelaskan bahawa tindakan itu dibuat atas arahan Ketua Menteri, Lim Guan Eng dan dua pemimpin lain yang meminta pihaknya membatalkan kebenaran menggunakan dewan tersebut untuk program Pentas Pemuda yang telah diberikan, semalam.

''Saya amat kecewa apabila dihubungi pegawai tersebut pukul 9 pagi tadi. Dia kata telah diarahkan Guan Eng, Timbalan Ketua Menteri 1, Mansor Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Agama Islam negeri, Abdul Malik Kassim untuk membatalkan kebenaran menggunakan dewan tersebut.

''Adakah ini yang dinamakan kebebasan bersuara yang mereka laungkan sebagai dasar kerajaan negeri? Saya rasa ia amat bertentangan. Matlamat untuk menyatakan kebenaran disekat hanya kerana amalan dwi standard," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tiada ulasan: