Ahad, 30 Mei 2010

Rajago palu anggap pelantikan kepercayaan Samy

SEREMBAN 30 Mei - Ketua MIC Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu (gambar) menyifatkan pelantikannya sebagai Setiausaha Agung MIC yang baru merupakan satu kepercayaan tinggi yang diberikan oleh Presiden Datuk Seri S. Samy Vellu kepadanya.

Beliau amat berterima kasih atas kepercayaan yang diberikan itu dan akan memulakan tugas rasmi sebagai Setiausaha Agung MIC sebaik sahaja mengadakan pertemuan dengan Samy Vellu di Kuala Lumpur pukul 9 pagi esok.

''Saya baru sahaja diberitahu oleh Presiden sebentar tadi dan memaklumkan pelantikan ini.

''Saya terharu dan mengucapkan terima kasih, lebih-lebih lagi ia satu tanggungjawab yang diamanahkan oleh Presiden dan kepimpinan tertinggi MIC kepada saya," katanya ketika dihubungi di Johor hari ini.

Beliau menggantikan S. Murugesan yang dipecat daripada jawatan tersebut selepas membuat kenyataan terbuka mempertikaikan tindakan Samy Vellu yang menggunakan kuasanya sebagai Presiden untuk memecat empat anggota termasuk dua anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) parti baru-baru ini.

Rajagopalu yang dalam perjalanan balik dari Johor selepas menghadiri Konvensyen MIC negeri itu memberitahu, beliau menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh Presiden dan akan bekerja sebaik mungkin.

''Saya akan bekerja dengan Presiden, Timbalan Presiden, Jawatankuasa MIC pusat, selain dapat bersama-sama mengembalikan keharmonian dalam parti.

''Sebagai Setiausaha Agung, saya akan sentiasa mengikut dan menghormati apa juga arahan Presiden selain menjaga kepentingan pari dan hubungan baik dalam Barisan Nasional (BN),'' katanya.

Tambahnya, dengan pengalaman sebagai Ketua MIC Negeri Sembilan selama 10 tahun serta bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dia yakin dapat menyumbang khidmat yang baik untuk membantu kejayaan parti pada masa hadapan.

''Saya akan menggunakan kelebihan dan pengalaman sedia ada untuk bekerja sebagai Setiausaha Agung MIC.

''Kali ini, saya akan berkhidmat di peringkat kebangsaan, ia satu tanggungjawab yang besar dan amanah yang perlu dilaksanakan dengan baik," katanya.

Ditanya mengenai nasib Murugesan selepas ini, Rajagopalu enggan mengulas lanjut.

Semalam, Samy berada di sini merasmikan Konvensyen MIC Negeri Sembilan dan Rajagopalu hadir sebagai Ketua MIC negeri.

''Presiden hanya memaklumkan perkara itu hari ini. Semalam beliau tidak bercakap apa-apa mengenainya,'' katanya.

Tiada ulasan: