Ahad, 23 Mei 2010

Rakyat perlu tolak budaya politik jalanan pembangkang - Johari

KUCHING 23 Mei - Rakyat negeri ini perlu bersatu menolak politik jalanan yang cuba dibawa masuk pembangkang kerana amalan seperti itu jika dibiarkan menjadi budaya boleh menimbulkan pelbagai kesusahan kepada masyarakat.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abang Johari Tun Openg berkata, selain itu, apa yang diperlihatkan pembangkang pada kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu baru-baru ini jelas sesuatu yang bertentangan dengan cara hidup rakyat Sarawak sendiri.

''Kita lihat pembangkang menggunakan kaedah berkempen menggunakan pembesar suara di atas lori yang dipandu mengelilingi bandar Sibu di samping menayangkan video ceramah kempen di jalanan.

''Ini pertama kali saya lihat (di Sarawak) dan budaya seumpama ini hanya berlaku di Taiwan. Selain itu, budaya politik jalanan ini juga adalah budaya politik di Bangkok, Thailand," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau diminta mengulas sikap pembangkang yang semakin angkuh serta kerap melakukan kekecohan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sama ada ia ekoran kemenangan DAP pada pilihan raya kecil di Sibu, 16 Mei lalu.

Abang Johari memberitahu, sekiranya budaya politik jalanan seperti di Bangkok sudah menular ke negeri ini, maka ia tidak akan dapat dikawal lagi.

Katanya, sudah pasti perkara tersebut akan menjejaskan ramai pihak termasuk para peniaga yang terpaksa menutup operasi manakala orang ramai sukar untuk keluar makan bersama keluarga atau sebagainya.

Justeru tambahnya, apa yang perlu dilakukan oleh rakyat di negeri ini adalah menolak sama sekali budaya politik jalanan oleh pembangkang ke Sarawak.

''Sebenarnya, rakyat Sarawak sendiri sudah mula muak dengan perkara seumpama ini dan mereka perlu tolak budaya pembangkang itu," katanya.

Pada masa sama, Abang Johari berkata, setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu menghormati sidang DUN dan bukannya membawa budaya atau gaya perbincangan di kedai kopi masuk ke DUN yang mulia itu.

Tiada ulasan: