Selasa, 18 Mei 2010

Rakyat Sibu tidak merajuk - Taib Mahmud

KUCHING 18 Mei - Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menolak dakwaan pembangkang bahawa kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu disebabkan rakyat kawasan itu merajuk dan tidak berpuas hati dengan kepimpinan negeri.

Abdul Taib yang juga Pengerusi BN negeri berkata, rakyat Sibu lebih tahu bandar itu tidak akan berubah dan membangun seperti sekarang tanpa kepimpinan beliau.

Tegasnya, dakwaan pembangkang bahawa rakyat Sibu merajuk dengan pimpinan negeri sebenarnya merupakan spekulasi pembangkang yang telah disiarkan pihak media.

''Macam inilah... ini pilihan paya Parlimen, bukannya Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri. Apa saja keputusan, saya masih tetap Ketua Menteri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini hari ini.

Beliau mengulas dakwaan pembangkang bahawa kekalahan BN adalah disebabkan rakyat di kawasan itu merajuk dengan pemimpin negeri.

Mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya perubahan dilakukan berikutan jentera kempen pilihan raya BN didapati kurang bertenaga dan tidak kreatif antara punca kekalahan calon BN, Abdul Taib berkata, kehadiran ramai orang luar juga antara faktor penyumbang kekalahan itu.

Menurutnya, kehadiran ramai orang luar khususnya kalangan ahli parti lawan menyebabkan suasana kempen pada pilihan raya kecil Ahad lepas sedikit berbeza.

''Bagaimanapun, kita perlu mengkaji dengan teliti mengenai perkara ini dan melihat apa yang perlu dibuat untuk merangka kempen pada masa hadapan," katanya.

Pada pilihan raya kecil itu, BN gagal mempertahankan kerusi Parlimen Sibu apabila calonnya, Robert Lau Hui Yew tewas kepada calon DAP, Wong Ho Leng dengan majoriti 398 undi.

Dalam pertandingan tiga penjuru itu, Ho Leng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek mendapat 18,845 undi dan Hui Yew memperoleh 18,447 undi manakala calon Bebas, Narawi Haron mendapat 232 undi dan 395 undi rosak

Tiada ulasan: