Khamis, 27 Mei 2010

Rekod Samy Vellu perlu diiktiraf - Tun Mahathir

KUALA LUMPUR 27 Mei - Datuk Seri S. Samy Vellu sepatutnya menerima pengiktirafan kerana mungkin telah mencipta satu rekod baru sebagai ahli politik paling lama memegang tampuk kepimpinan sebuah parti politik di negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Presiden MIC tersebut telah 'memerintah' lebih lama daripada tempoh beliau sebagai Perdana Menteri iaitu selama 22 tahun dan kerana itu, Samy Vellu perlu diberi pengiktirafan.

Ditanya mengenai kemelut jawatan Presiden MIC itu, beliau mengulangi kenyataannya bahawa "kita tidak sepatutnya tinggal lebih lama daripada yang dialu-alukan".

"Saya bukan mewakili UMNO dalam berkata demikian, tetapi 'pergi sebelum orang benci' menjadi antara sebab saya melepaskan jawatan tertinggi negara tujuh tahun lalu," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Persidangan Penuaan Sihat Malaysia Kelima di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemelut jawatan Presiden MIC yang tidak berubah sejak 1979 sehingga mendorong pembentukan gerakan menentang kepimpinan Samy Vellu oleh sebahagian anggota parti itu dan masyarakat India.

Isu tersebut menjadi semakin hangat apabila anak Samy Vellu, S. Vell Paari mengaitkan UMNO dengan gerakan membunuh kerjaya politik bapanya itu sementara Ketua Pemuda MIC, T. Mohan menyatakan akan mengkaji kedudukan parti tersebut dalam Barisan Nasional (BN) jika UMNO terlibat dalam pembentukan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS).

Samy Vellu yang menerima desakan beberapa pihak supaya meletak jawatan pada Julai ini, hanya akan bersara dalam tempoh lapan atau sembilan bulan sebelum penggalnya berakhir pada Mei 2012.

Ditanya media mengenai kenyataan Vell Paari, Dr. Mahathir menegaskan pihak yang membuat dakwaan tersebut perlu membuktikannya terlebih dahulu.

"Dia (Vell Paari) kena beri bukti yang jelas dahulu menunjukkan UMNO terlibat (menjatuhkan bapanya) seperti yang didakwa sebelum ini," tegasnya.

Tiada ulasan: